Sunday, 24 July 2011

Wasiat Raja-Raja Melayu




Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:

* Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
* Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
* Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
* Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
* Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
* Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
* Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Golongan Tidak Layak Diberi Jawatan Sebagai Pemimpin Umat Islam


Rasulullah tidak melantik sesiapa yang meminta jawatan, sebaliknya menyerahkan kepada yang mempunyai sifat bertanggungjawab. Menyedari pentingnya pemimpin dan kepemimpinan, Allah sendiri menyatakan dalam al-Quran empat kategori manusia yang tidak boleh atau haram diangkat menjadi pemimpin, atau dalam bahasa mudahnya empat golongan atau kategori manusia yang tidak layak dilantik menjadi pemimpin. Yang tidak termasuk dalam keempat-empat kategori itu dibolehkan.

Golongan pertama yang diharamkan adalah orang Yahudi dan Nasrani. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jangan kamu jadikan orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin sebab mereka hanya layak menjadi ketua di atas sebahagian daripada mereka. Barang siapa antara kamu menjadikan mereka pemimpin, sesungguhnya ia jadi golongan mereka (Yahudi dan Nasrani). Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah Al-Maidah : Ayat 51)

Golongan kedua adalah orang yang melebihi atau mengutamakan kekafiran daripada keimanan. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bapa, saudara kamu menjadi pemimpin jika mereka memilih kafir daripada iman. Barang siapa mengangkatnya menjadi pemimpin daripada kalangan kamu, maka mereka itu adalah zalim.” (Surah At-Taubah : Ayat 23)

Golongan ketiga adalah orang yang di luar kalanganmu termasuk dalamnya orang munafik. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu ambil sahabat yang setia selain daripada golongan kamu, mereka tidak henti-hentinya berikhtiar mencelakakan kamu, mereka itu suka apa yang menyusahkan kamu. Sesungguhnya kebencian telah terbit dari mulut mereka, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati mereka adalah lebih besar lagi. 
   Kami telah terangkan kepadamu tanda-tanda jika kamu mahu berfikir. Ingatlah kamu ini mencintai mereka sedang mereka tidak mencintai kepadamu dan kamu percaya kepada seluruh kandungan al-Quran, sedang mereka itu apabila bertemu dengan kamu, mereka mengakui kami beriman, tetapi apabila berpisah, mereka gigit jari mereka lantaran marah bercampur benci kepadamu. Katakanlah kepada mereka: matilah kamu bersama kemarahan kamu itu. Allah mengetahui apa yang ada di dalam dadamu (hatimu).” (Surah Al-i-Imran : Ayat 118 – 119)
Golongan keempat adalah orang yang mengingkari al-Quran dan hukumnya. Berhubung perkara ini Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu jadikan orang kafir itu menjadi pemimpin kamu, padahal mereka bukan daripada kalangan orang mukmin (yang benar), apakah kamu mencari satu alasan yang nyata bagi alasan bagi Allah untuk menyiksamu?” (Surah An-Nisa’ : Ayat 144)
Rasulullah SAW pula mengingatkan supaya kalangan yang berkehendakkan sesuatu jawatan (menjadi pemimpin) hendaklah jangan dilantik kerana ia akan mendatangkan banyak masalah pemimpin itu sendiri dan juga yang dipimpin. Sebaliknya jawatan itu hendaklah diberikan kepada orang yang dipilih daripada kalangan yang tidak berkehendakkan sesuatu jawatan (menjadi pemimpin) tetapi mempunyai kebolehan.
Iman Bukhari diriwayatkan berkata bahawa Abu Zar menceritakan kepadanya bahawa beliau (Abu Zar) telah berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, tidakkah boleh Rasulullah melantikku ke sesuatu jawatan.” Lalu Rasulullah menepuk bahu Abu Zar dan bersabda: “Wahai Abu Zar! Engkau lemah. Jawatan itu adalah suatu amanah, ia pada hari kiamat adalah suatu kehinaan dan penyesalan kecuali orang menerimanya kerana berhak dan menunaikan tugasnya dengan betul.”
Dalam Islam, jawatan bukanlah satu hak yang mesti diberi, apatah lagi jika diperoleh melalui apa jua cara bermaksud penjawatnya berkehendakkan jawatan itu seperti melalui sogokkan, bodek dan sebagainya. Sebaliknya jawatan adalah satu tugas, tanggungjawab dan amanah.
Rasulullah tidak memberikan sesuatu jawatan (kepemimpinan) kepada orang yang memohon atau orang yang berhasrat untuk mendapatkannya tetapi akan menyerahkan kepada mereka yang cukup layak menjawat sesuatu jawatan (memimpin) tetapi tidak berhajatkan jawatan berkenaan.
Imam Al-Hakam meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik menjalankan urusan umat Islam, maka ia melantik seorang tertentu sedangkan ia dapati ada yang lebih baik daripadanya, maka sesungguhnya ia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.”


Sunday, 17 July 2011

Kejatuhan Negara Islam PAS




1. Saya tertarik dengan penjelasan Nik Aziz kenapa selepas 30 tahun mengguna “perjuangan untuk Negara Islam ala PAS” untuk mendapat sokongan orang Melayu, sekarang PAS menggugurkan Negara Islam dan hukum Hudud. Kononnya Nik Aziz berpandukan Al-Quran dan Hadith.

2. Apakah Nik Aziz baru saja baca Surah Al-Baqarah dan sedar yang Negara Islam PAS menimbul salah faham dan menakutkan pihak tertentu? Jikalau kerana kesedaran ini akan menakutkan pihak tertentu (orang bukan Islam – Karpal Singh) maka PAS menggugur Negara Islam PAS, maka benarlah yang pengguguran ini bertujuan untuk menghapuskan ketakutan mereka ini, supaya mereka akan sokong PAS dalam pilihanraya, dan bukan kerana agama membenarkan atau tidak.

3. Kerana UMNO tidak menyokong Negara Islam PAS dan hukum Hudud PAS, Nik Aziz tidak terima UMNO.



4. Tetapi bila DAP dan Karpal Singh tidak bersetuju dengan pendirian PAS, Nik Aziz semak semula Surah Al-Baqarah dan tiba-tiba selepas 30 tahun, mendapati bahawa Negara Islam dan hukum Hudud boleh dibelakangkan dan diganti dengan Negara kebaijikan PAS.


5. Demikianlah Nik Aziz lebih bersedia akur kepada pendapat DAP dan Karpal kerana ingin mendapat undi bukan Islam. Penyokong PAS akan turut dimana sahaja pemimpin PAS bawa mereka. Gugur Islam pun mereka akan undi PAS.



6. Untuk perpaduan Melayu dan Islam Nik Aziz tidak sanggup berganjak walau sedikit pun. Biarlah orang Melayu Islam berpecah dan hancur kononnya kerana bagi Nik Aziz perjuangan PAS untuk Negara Islam dan hukum Hudud tidak boleh dibelakangkan atau digugur. Jika ada usaha untuk merapatkan hubungan dan kerjasama politik antara PAS dengan UMNO, Nik Aziz dengan tegas menolak kerana UMNO tidak Islam.

7. Tetapi kita sekarang dapat lihat bagaimana mudahnya PAS dan Nik Aziz menolak Negara Islam PAS dan hukum Hudud PAS kerana ingin bersekongkol dengan DAP untuk mendapat undi bukan Islam.


8. Wahai orang Melayu yang semuanya beragama Islam. Bukalah mata kamu dan lihatlah bagaimana PAS mempermainkan Islam. Bukan Surah Al-Baqarah yang mendorong PAS menggugurkan Negara Islamnya. Nik Aziz sendiri berkata yang mendorong PAS ialah ketakutan orang bukan Islam kepada Negara Islam. Untuk kemenangan pilihanraya ketakutan orang bukan Islam mesti dihilangkan dengan menggugurkan perjuangan Islam PAS.


Tuesday, 5 July 2011

Janganlah hendaknya PAS itu jadi seperti puak Khawarij

PENGENALAN
Dunia kini menyaksikan perpecahan umat Islam,yang sungguh menyayatkan hati. Menurut sejarah, perpecahan umat Islam bermula pada akhir pemerintahan Khalifah Saidina Othman bin Affan kira-kira tahun 30 - an Hijrah bersamaan 654 Masehi. Perpecahan berlaku tak kunjung padam, sehinggalah ketika ini yang puncanya sering dirujukkan kepada perpecahan ketika pemerintahan Khalifah Saidina Ali Abu Talib lagi.

 Penulisan ini difokus hanya kepada Khawarij sahaja kerana dirasakan wujud perpecahan sesama Islam di Malaysia pun sejak beberapa dekad sebelum ini hingga kini.adalah ala Khawarij, Mengikut Ahmad Syalabi (Prof.Dr.), yang merupakan tokoh serta penulis sejarah Islam,yang tersohor, Khawarij diambil dari kata kerja kharaja, bermaksud telah keluar.
 Pengambilan nama kata kerja kharaja, adalah disesuaikan dengan tindakan mereka keluar secara beramai-ramai membelakangkan ketaatan serta kesetiaan mereka kepada Saidina Ali Bin Abi Talib yang menerima konsep Tahkim bermaksud perdamaian dengan meletak al-Quran al-Karim di tempat yang paling tinggi, serta semua oarang mesti mematuhi isi kandungan al-Quran.
 Konsep Tahkim itu dianjur oleh Muawiyah bin Abu Sufian, dalam peperangan Saffain dimana beliau serta askarnya mengangkat al-Quran di hujung pedang ketika mana Muawiah merasakan pihaknya akan tewas dalam peperangan itu. Saidina Ali Bin Abu Talib menerima konsep Tahkim tersebut.
 SLOGAN
 Kepelbagaian slogan digunakan oleh puak Khawarij, mengikut cita rasa mereka, antaranya:
 al-Syarat bermaksud kumpulan yang menjual diri serta jiwaraga mereka untuk membeli akhirat dan Al-Muhakkimah bermaksud kumpulan yang mengungkap tiada hukuman melainkan hukuman Allah.

 KEMUNCULAN KHAWARIJ
Dalam memberi kupasan kemunculan Khawarij, Syalabi berkata: ”Sebenarnya idea Khawarij serta revolusi mentalnya wujud lebih awal daripada kemunculan organisasi atau partinya.Kemunculan Khawarij dalam bentuk parti, takala berbangkit Tahkim iaitu perdamaian dalam peperangan Saffain yang pembabitannya dua pihak - kedua-duanya umat Islam belaka.
Peperangan Saffain itu berkesudahan dengan perdamaian.Mengenai nama Saffain, terdapat ahli sejarah mengatakan Saffain adalah nama tempat dimana berlakunya peperangan.

 Terdapat pula ahli sejarah yang mengatakan Saffain bererti dua barisan, tegasnya dua barisan yang berperang ; satunya barisan Muawiyah manakala keduanya barisan Saidina. Kedua-dua pendapat ahli sejarah itu adalah lojik.
 PERDAMAIAN
 Perdamaian datang menyusul selepas peperangan. Antara tuntutan Allah menerusi al-Quran adalah perdamaian. Dalam konteks ini Allah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat:06. yang bermaksud:
 “Dan jika dua puak dari kalangan orang-orang yang beriman berperang,maka damaikanlah diantara keduanyan.”
 Penyelewengan Khawarij telah melakukan penyelewengan secara terang, pada satu masa mereka mendakwa menerusi sloganya yang berbunyi:Tiada hukuman melainkan hukuman Allah. Tiba-tiba dalam masa yang sama mereka mengenepikan  slogan ciptaan mereka.
 Ini satu isyarat menunjukkan bahawa mereka tidak konsisten,dan slogan yang mereka cipta itu semata-mata untuk mengabui mata masyarakat, dengan harapan agar menerusi taktik tidak bermoral itu, agenda politik mereka dan objektif yang tersirat melalui perjuangan politk mereka tercapai setelah  mendapat sokongan padu daripada masyarakat.
 Tidak keterlaluan,jika dikatakan slogan mereka yang berciri agama, semata-mata untuk puak serta politik mereka. Perdamaian adalah hukuman Allah,dua pihak yang bertelagah telah menerima hukuman Allah, tetapi mengapa pula puak Khawarij enggan menerima hukuman Allah? Kata tak serupa bikin. 

 Slogan tersebut hanya retorik semata-mata dan pembohongan besar. Perdamaian mengikut Islam adalah dua bentuk - sama ada dua pihak yang bertelagah itu mencari sendiri formula perdamaian, serta memberi persetujuan terhadap formula itu, atau pihak lain berusaha mencari jalan penyelesaian yang menjurus kapada perdamaian.
 AGRESIF
 Khawarij membentuk hizb iaitu parti. Semua operasinya, tindak tanduknya adalah semata-mata melaksanakan agenda parti dan seterusnya ingin mencapai objektif parti. Demi mendapat perhatian, pengaruh serta simpati dari masyarakat, mereka sanggup mengguna pelbagai cara dan pendekatan, walaupun pendekatan digunakan satu perkara mustahil.
 Mereka tergamak tanpa segan silu mengatakan Saidina Othman yang dijamin dapat memasuki syurga tanpa hisab oleh Rasulullah s.a.w.itu, sebagai kafir.
 Mereka yang terlibat dengan peperangan Al-Jamal iaitu peperangan yang menggunakan unta, yang terdiri daripada Saidina Ali serta pengikutnya serta Saidatina Aesyah bersama pengikutnya, dianggap kafir belaka.Walhal Saidina Ali serta Saidatina Aisyah kedu-duanya juga dijamin dapat memasuki syurga tanpa hisab.
 Penyebab Khawarij melakukan tindakan agresif menerusi ungkapan yang trajis dan jelek itu, adalah lantaran mereka gagal meraih sokongan daripada sahabat yang terpilih, seperti yang dipaparkan.
 Jika yang terpilih pun dihukum kafir, tidak hairanlah sekiranya mereka daripada kalangan orang biasa, juga dihukum kafir serta murtad dengan sewenang-wenangnya oleh puak parti Khawarij. Faktor utama ialah kerana orang biasa pun tidak menyokong parti Khawarij.

 KEMUNCAK AGRESIF
 Puak parti Khawarij bukan setakat melabel kafir serta murtad ke atas mana-mana orang yang enggan member sokongan kepada parti mereka,malah mereka mengeluar fatwa bagi maksud halal merampas harta serta halal membunuh mereka yang didapati enggan menyokong parti Khawarij.
 Antara yang menjadi mangsa kekejaman Khawarij, ialah pertama; Saidina Ali yang dibunuh secara tikaman di belakangnya, semasa beliau menunai solat subuh di masjid Kufah, Iraq.
 Akibat tikaman tersebut, beliau meninggal dunia sejurus kemudian.Si pembunuh yang durjana tidak lain melainkan seorang Khawarij yang bernama Ab.Rahman Bin Maljam (Ibn Maljam ).
 Mangsa kekejaman Khawarij yang kedua ialah Abdullah bin Khabbab (yang dilehernya tergantung Al-Quran) bersama isteri yang sarat hamil.
 Sebelum menyembelih serta mencincang kedua-dua mereka, puak Khawarij berkata: Benda yang ada di leher kamu (Al Quran) menyuruh agar kamu dibunuh. Abdullah dipancung lehernya, manakala isterinya dicincang.
 Mereka bertiga – Saidina Ali, Abdullah Bin Khabbab dan isterinya gugur ekoran kezaliman Khawarij yang bangsat.
 PAS KHAWARIJ?
 Jika diteliti kepada kedudukan politik perpaduan Islam di Malaysia, khususnya pada 1970-an, kira-kira empat tahun sahaja Pas menikmati keselesaan hidup bersama Barisan Nasional (BN). Pas ditendang oleh BN kerana Pas telah melanggar etika setia kawan.

 Pas telah membelakangi keputusan yang diputuskan oleh BN, di mana Menteri Besar Kelantan pada masa itu YAB Dato’ Muhammad Bin Nasir ( Allah yarham ). Kerusi MB, dikira kerusi panas, lantaran kerusi tersebut menjadi rebutan dikalangan kepimpinan.
 Yang hairan bin ajaib, Pas merupakan satu komponan BN.
 Apa-apa keputusan yang diputuskan BN, adalah keputusan bersama yang diputus menerusi musyawarah. Hakikatnya Pas tidak iktiraf keputusan BN, yang melantik Dato’ Muhammad Bin Nasir, selaku MB, Kelantan. Apa yang berlaku itu Pas dilihat parti keras kepala, ego, bongkak, mementingkan diri sendiri dan tidak bersyukur di atas nikmat rakyat hidup dalam keselesaan, keharmonian dan bersatu padu dalam satu bentuk perpaduan yang utuh yang terbentuk menerusi BN.

 Selain daripada nikmat tersebut banyak lagi nikmat yang dapat dikecap oleh pemimpin Pas, seperti memegang jawatan exco, TMB, Menteri Kabinet, Setiausaha Parlimen dan banyak lagi.
 Akibat mementingkan diri sendiri secara melampau, iaitu walaupun MB telah pun dilantik, wujud individu lain nak rebut jawatan MB itu, dalam masa yang sama Pas mengabaikan kebajikan rakyat jelata. Pas bukan nak bela rakyat, sebaliknya Pas berebut nakkan pangkat.Ekoran sikap melampau, di Kelantan pada masa itu berlaku krisis kepimpinan

 secara ketara. Rakyat bangkit memprotes terhadap puak durjana yang mencetuskan situasi krisis kepimpinan, dalam bentuk demonstrasi jalanan.
 Negeri Kelantan diisytihar darurat. Negeri Kelantan ditadbir oleh Majlis Tindakan Negara (MAGERAN ). Tan Sri Hashim Aman, diberi tanggungjawab mempengerusikan MAGERAN.
 Pas ditendang dari menyertai pakatan BN. oleh Allah yarham Tun Husain On selaku PM dan Pengerusi BN pada ketika itu, ekoran sikap sonbong, bongkok dan takbur mereka.Tak lama kemudian, pilihan raya umum 1978 diadakan. Keputusan Pas mendapat malu besar, imej pemimpin Pas merudung sebab keputusan pilihanraya umum 1978 tidak menyebelahi Pas.

 Parti Pas menjadi haru biru dan hiruk piruk. Pas menjadi kelu dan kaku, tidak berupaya mengekang penyokong Pas yang terdiri daripada kalangan peminpin,menyeberang ke sebelah sana untuk menaiki rakit UMNO, manakala yang lain pula menubuh Parti lain, seperti; Parti BERJASA.Episod yang dipapar itu, menjadikan Pas kalah teruk, hanya dua kerusi DUN seperti batu nesan di atas kubur, ia itu Pancor dan Manek Urai dan satu kerusi Parlimen, iaitu; Pengkalan Chepa dimenangi oleh Pas.
 Manakala BN memperolehi kemenangan besar sama ada kerusi Parlimen juga DUN. Yang anehnya, Parti BERJASA yang baru ditubuhkan, di mana para penyokongnya menubuh Parti tersebut, setelah keluar dari Pas, Parti BERJASA telah meraih kemenangan besar, iaitu mendapat 14 kerusi DUN. Parti Berjasa bertanding di atas tiket BN.

 MEMULIH IMEJ YANG MERUDUNG
 Bukan satu usaha yang boleh dianggap gampang, untuk memulih semula muka yang diliputi parut serta calar secara keseluruhan, agar tampil dalam bentuk muka yang licin dan ikhlas dari sudut lahiriah sahaja,lantas mendandapat simpati serta pengaruh dari masyarakat. Setelah dirancang dan dibincang, maka tercetus idea yang begitu mujarab untuk rakyat

 Kelantan secara khusus, manakala rakyat luar Kelantan secara umum. lalu terpancarlah slogan seperti; 
“Membangun Bersama Islam. 
”“Kepimpinan ulamak.”
 Penampilan pula ialah berjanggut, bermisai,berketayap serta serban belit dan berjubah, sebagai penampilan ulamak.Yang mengelirukan, terdapat dikalangan pemimpin Pas, setelah menaik taraf dirinya sebagai ulamak yang bermartabat TOK GURU, selalu mengeluar hukum.Setelah diteliti si TOK GURU yang selalu mengeluarkan hokum tersebut, tak mengaji FIQH.
 Bagaimana nak memahami nas-nas yang kandung dalam sumber hukum ia itu: Quran,Hadith, Ijmak dan Qias, sekiranya FIQH, tak dipelajari?Hukum yang dimaksudkan ia lah apa saja perbuatan manusia, baik lelaki mahupun perempuan.Hukum seperti tersebut dikenali dengan istilah HUKUM TAKLIF ia itu wajib,haram,sunat,harus dan makruh.
 Kategori Ulamak Ulamak Parti Pas diketegorikan ulamak siasi iaitu ulamak politik atau ulamak cari makan. Semasa berceramah, membaca ayat Quran, dan Hadith, mengajak pendengar menghayati ajaran Quran dan Hadith, kadangkala dalam masa yang sama si penceramah memaki hamun mencela dan mencaci sesama Islam.
 Adakah aksi tersebut merupakan ajaran Quran dan Hadith?
 Khawarij merupakan golongan taassub, fanatik dan agresif. Apabila wujud ciri-ciri seperti yang ditonjolkan, tak kira samada di zaman pemerintahan Khalifah Saidina Ali k.w. dulu mahupun kini, golongan tersebut boleh dilabel KHAWARIJ.Persamaan dan perbezaan antara Pas dengan Khawarij

 A. PERSAMAAN
 Pas merupakan hizb iaitu parti. Khawarij juga hizb.
 Slogan Pas menjurus kepada bentuk pemukauwan seperti kepimpinan ulamak dan membangun bersama Islam.
 Slogan Khawarij pula berbunyi golongan yang menjual jiwa dan nyawa untuk membeli akhirat.
 Semua idea, pandangan, perancangan dan tindakan orang lain, Pas kata silap dan tak boleh diterima. Begitulah halnya dengan Khawarij.
 Mana-mana individu atau golongan yang tak secucuk, Pas label sesat, toghut, munafiq dan kafir. Begitu juga lebal yg dikeluarkan oleh Khawarij.
 Mana-mana golongan yang secucuk dengan Pas, kata Pas itulah golongan syurga. Hal ini sama seperti anggapan Khawarij.
 Pas kata sokong Pas bererti sokong Islam, tolak Pas kafir, sebab tolak Islam.
 Khawarij kata menentang Khawarij masuk neraka, si yang menentang halal dibunuh, sebab kafir.
 Memartabat pemimpin mereka ke martabat maksum ia itu suci.Hal ini sama seperti Khawarij.

 B. PERBEZAAN
 Pas muncul zaman kini di Asia Tenggara.Khawarij muncul di Asia Barat zaman silam.
 Pas berbangsa Melayu. Khawarij berbangsa Arab.
 Pas belum lagi membunuh penentangnya. Khawarij telah ramai penentangya dibunuh.
 CADANGAN
 Pihak berkuasa perlu sentiasa berusaha dengan sedaya upaya memberi penjelasan tentang hakikat Islam yang mesti dipegangi serta dihayati oleh semua lapisan masyarakat, menerusi penulisan, pengucapan di peringkat umum maupun di peringkat terhad kepada pelajar di perigkat sekolah juga di peringkat institusa pengajian tinggi, agar fahaman Khawarij tidak akan meresap ke dalam setiap jiwa masyarakat dan minda masayarakat tidak akan menerima fahaman karut Khawarij.
 Pendekatan sedemikian, menjadikan minda masayarakat bersih daripada pemikiran karut khawarij, dan puak Khawarij sendiri merasakan mereka berada dalam situasi kekangan yang serius.Lama kelamaan, fahaman serta puak Khawarij akan berkubur.

 KESIMPULAN
 Fahaman Khawarij adalah merupakan fahaman menyelewing atau sesat.
 Fahaman Khawarij merupakan penyumbang faktor perpecahan sesama Islam.
 Puak Khawarij di Malaysia, fahamanya mesti dikekang sehingga ke akar umbi agar tidak menular, manakala puak Khawarij,setiap pergerakanya mesti diawasi sehingga mereka merasakan tidak wujud kebebasan bergerak ke sana- sini untuk memberi ceramah dan sebagainya.



Monday, 4 July 2011

PAS sudah Jauh


Lepas muktamar PAS sampai sekarang ni aku dok pikir, kenapa PAS tukar slogan yang mereka pertahankan bertahun-tahun.

Jika Negara Islam adalah prinsip, bukan mudah untuk seseorang atau sekumpulan manusia. Jika dia mengubah prinsipnya, dia akan dicop sebagai orang yang tak berprinsip.

Sebenarnya, sebab utama PAS menukar prinsip parti adalah disebabkan pembongkaran atau kajian yang dibuat oleh Dr. Wong Chin Huat pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa pada 19 Februari 2011.

PAS telah mengkaji kedudukannya pada waktu ini. Jika PAS masih mengekalkan sifat konservatif, PAS akan kecundang sekiranya Pilihan Raya Umum dijalankan dalam masa yang terdekat.

Memang ada benarnya analisis Dr. Wong. Apabila mendengar analisis ini, pemimpin PAS termasuk Haji Hadi terkincit dalam seluar. Mereka yang sebelum ini syok sendiri bahawa Muslim Melayu bersama-sama mereka, terpukul dengan ucapan Dr. Wong. Selamat menonton video ini (kredit untuk Minaq Jinggo).


Walaupun PAS tak tukar nama parti mereka (Parti Demokrat Islam) seperti cadangan Dr. Wong, sekurang-kurangnya mereka sanggup menukar prinsip parti mereka demi mengekalkan kuasa yang ada. Bukannya demi memperjuangkan Islam.

*Kerana kuasa, agama sanggup mereka gadaikan!

Hudud dalam masyarakat Majmuk







Prof Dr. H Ghafoori Fard, menyatakan bahawa negara yang majmuk seperti Malaysia ini tidak sesuai dilaksanakan hudud. Tentulah kenyataan sebegini tidak akan dipetik oleh Harakah atau parti Pas.
Jika kenyataan ini dikeluarkan oleh cendekiawan Islam atau pemimpin Islam di Malaysia sudah tentulah parti pas akan menggunakan kenyataan ini untuk menyerang kembali individu tersebut sebagai menghina Islam.
Malangnya, bila kenyataan ini datang dari penasihat kepada seorang presiden yang amat dikagumi oleh Pas tentulah mereka mengelukan lidah seribu bahasa. Ini bukan pula bermakna penulis bersetuju atau berpegang teguh dengan kenyataan Penasihat kepada Presiden Iran ini sahaja.
Tapi kenyataan ini dipetik bagi menunjukan dilema Kerajaan Malaysia. Apabila Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Mahathir menyatakan kesukaran untuk melaksanakan hudud di negara majmuk seperti kita, seorang pemimpin parti Pas bingkas membidas dan mendakwa zaman Rasulullah s.a.w. dulu juga bersifat majmuk.
Apakah kelompok yang bingkas membidas ini faham erti majmuk sekarang dengan zaman Rasulullah? Dr. Mahathir membincangkan majmuk dari sudut agama kerana ia membincangkan hudud. Kenapa relevannya perbincangan majmuk agama? Ini kerana Hudud sendiri diperbahaskan perbezaan antara Islam, ahli kitab dab bukan Islam yang bukan ahli kitab.
Ironisnya, parti yang membezakan pelaksanaan hudud mengikut agama ini, melihat pula majmuk dalam perbincangan hudud ini dalam konteks budaya, bangsa dan kabilah.
Bagaimanakah cara pemimpin ini berfikir dengan melihat majmuk bangsa dan kabilah untuk mepertahankan hudud yang mereka pecahkan pelaksanaannya mengikut agama.
Siapakah ahli fikir antara kedua pemimpin ini? Rakyat yang bijak boleh menilai antara pencari kebenaran dengan pengeksploitasi agama.
Kedudukan masyarakat majmuk di Malaysia amat berbeza dengan zaman Rasulullah s.a.w. Pada zaman Rasulullah s.a.w, sungguhpun masyarakatnya majmuk tetapi ia lebih kepada majmuk kekabilahan, bangsa, budaya dan adat resam.
Manakala dari segi agama hampir sebahagian besarnya beragama wahyu sama ada Islam, Kristian atau Yahudi yang hukum dalam Injil dan Taurat mereka hampir sama malah kadang-kadang jauh lebih berat dari Islam. Dalam kedudukan inilah Islam memberi pilihan sama ada untuk mengikut hukum hudud Islam atau hukuman agama mereka.
Ini jauh berbeza dengan Malaysia. Di mana masyarakat majmuk agamanya tidak bersandarkan agama wahyu.
Oleh kerana majmuknya bukan agama wahyu, Pas membuat ketetapan kepada bukan Islam memilih undang-undang sivil atau hudud.
Dengan kata lain, Pas memberi peluang kepada bukan Islam memilih undang-undang yang lebih ringan dari Islam. Ini berbeza dengan zaman Rasulullah di mana undang-undang Islam lebih ringan atau setara dengan agama wahyu yang lain.
Sungguhpun diriwayatkan ada agama majusi dan penyembah berhala tetapi sebesar mana golongan ini, adakah mereka masih wujud ketika hukuman hudud mula dilaksanakan dan apa hukuman yang setara untuk mereka tidak disebut atau terdapat fakta yang jelas.
Kerajaan melalui cerdik pandai Islam yang ada dalam kerajaan bukan sahaja mengambil kira kedudukan hudud kepada orang Islam tetapi juga bukan Islam.
Ijtihad yang ada hari ini terutamanya yang dipegang oleh Pas adalah bukan Islam di Malaysia boleh dikecualikan dari Hudud. Ini berdasarkan pandangan bahawa dalam al-Quran hanya membicarakan tentang orang Islam dan ahli kitab (yakni Yahudi dan Nasrani) sahaja.
Dalam keadaan 45% (hampir separuh) daripada penduduk Malaysia ini merupakan bukan Islam, undang-undang yang tidak seragam boleh memberi pelbagai implikasi besar kepada pentadbiran, undang-undang dan kestabilan masyarakat pada masa depan jika tidak ditangani secara teliti.
Apatah lagi bila bukan Islam yang bukan Yahudi dan nasrani (majoriti bukan Islam di Malaysia) tidak tertakluk kepada hudud ini. Ini perlu diambil kira secara serius oleh kerajaan dan parti yang bertanggungjawab seperti UMNO.
Ini juga yang menjadi masalah kepada kerajaan Islam Malaysia. Tidak ada satu contoh terdahulu untuk diikuti dalam konsep masyarakat majmuk hari ini yang hampir 50% rakyatnya didakwa oleh Pas tidak tertakluk dengan Hudud.
Dalam zaman Rasulullah hukuman yang dikenakan ke atas Islam dan bukan Islam (yang diklasifikasikan sebagai ahli kitab) adalah serupa tetapi apakah hukuman ke atas golongan bukan ahli Kitab seperti Majusi? Ini tidak diperdebatkan secara jelas.
Pada zaman Rasulullah juga kegiatan jenayah kerap kali berlaku dalam kelompok atau kabilah. Jarang sekali Yahudi, Nasrani dan Islam tinggal dalam satu penempatan atau taman atau kawasan perumahan seperti di Malaysia. Jadi jarang wujud kes-kes perkongsian jenayah seperti di Malaysia.
Bayangkan sistem kehakiman yang bagaimana kita akan bentuk dengan 45% orang bukan Islam tidak tertakluk kepada undang-undang yang serupa.
Pembahagian ini bertambah kompleks bila berlakunya perkongsian jenayah antara bukan Islam dan Islam atau perlakuan jenayah oleh individu atau kumpulan atas individu atau kumpulan lain yang berbeza agama Islam dan bukan.
Ini belum lagi dibincangkan kos yang begitu besar terpaksa digunakan unruk mewujudkan dua sistem perundangan yang berasingan secara menyeluruh.
Mampu dan berbalaoikah Malaysia sebagai sebuah negara membangun menampung kos penduaan kehakiman ini, sedangkan hudud itu sendiri merupakan satu hukuman yang memerlukan pembuktian yang sukar dan boleh dilepaskan melalui taubat?
Ijtihad-ijtihad ulama terdahulu bahawa bukan Islam tidak tertakluk kepada hudud adalah berdasarkan faktor negara tersebut.
Kebanyakan negara yang menjadi naungan negara imam-imam muktabar dahulu sungguh pun pelbagai agama tetapi jumlah bukan Islam termasuk nasrani dan yahudi amat sedikit.
Ini tentulah tidak menimbulkan sebarang permasalahan dari segi pentadbiran undang-undang dan kehakiman berbanding Malaysia.
Bagi Pas memang mudah untuk berjanji dan bercakap tapi bila tiba untuk melaksanakan barulah mereka sedari ia bukan semudah berceramah dan berjanji. Hingga sekarang mereka masih gagal melaksanakan hudud lantas menyalahkan kerajaan pusat.
Sebelum masuk pilihan raya lagi mereka telah mengetahui bahawa mereka tidak mungkin melaksanakan hudud dengan 60 kerusi Parlimen yang mereka tandingi. Mengapa mereka berjanji juga? Kerana mereka mempunyai kambing hitam, yakni UMNO, untuk disalahkan.
Hudud bukanlah satu perkara yang begitu mustahak dan memerlukan pelaksanaan segera dalam negara aman seperti Malaysia hari ini. Lebih banyak perkara-perkara besar yang mendasari persoalan umat Islam dalam penguasaan ekonomi, politik dan sains teknologi.
Ini bukan bermakna Hudud tidak berguna atau UMNO ingin menolak hudud. Tetapi pemerintahan yang diasaskan oleh UMNO adalah berdasarkan keutamaan bukan emosi dan sentimen. Hudud seperti kata Hadi Awang hanya 1/10 ribu daripada hukum Islam.
Dalam perundangan Islam hal-hal membabitkan undang-undang kekeluargaan Islam dan Faraid, lebih banyak dan penting untuk dilaksanakan secara teratur dan sistematik.
Hingga hari ini situasi ini pun tidak selesai secara tuntas lagi.
Ini belum termasuk sistem pentadbiran Islam, isu pendakwaraya syarie, isu pembahagian kuasa antara kuasa pusat dan negeri, penyediaan pelbagai kepakaran serta pelbagai perkara lain yang membabitkan perundangan Islam perlu diselesaikan. Ini semua perlu diteliti terlebih dahulu.
Justeru dalam UMNO, hudud sungguh pun hukum Allah swt yang tidak pernah ditolak oleh UMNO tetapi juga bukan keutamaan pada masa ini. Apatah lagi Rasulullah s.aw. dalam beberapa riwayat juga kelihatan mengambil sikap mengampunkan pesalah daripada mengukum dengan hudud.
Manakala Pas terpaksa bermodalkan hudud semata kerana isu-isu pelaksanaan hukum hakam Islam yang lain telah dijalankan dengan baik oleh UMNO.
YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dari semasa ke semasa menekankan peri pentingnya melaksanakan hukum hakam Islam secara berhemah dan bertanggungjawab dan juga tidak melampaui batas-batas yang Allah swt tetapkan.
Pandangan Dr. Mahathir dalam hal ini adalah jelas bahawa banyak perkara yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu dalam usaha merealisasikan pelaksanaan hudud ke atas umat Islam pada masa hadapan.
Secara logiknya, tidak mahukah UMNO menutup terus modal politik Pas jika ia mampu melaksanakan tanpa menjejaskan kestabilan masyarakat dan negara hari ini?
Jika mempunyai ruang dan kemampuan untuk melaksanakan Hudud pada masa ini, nescaya hari ini juga UMNO laksanakan kerana hanya itu sahaja beban agama yang belum dapat dilaksanakan oleh UMNO; dan ia juga menjadi beban politik UMNO kerana Pas menggunakan isu ini untuk memecah belahkan ummah.
Sudah tentu perbingcangan mengenai kesungguhan tersebut akan dipertikaikan berdasarkan kononnya UMNO tidak berusaha. UMNO sebenarnya turut berusaha tetapi dengan kaedah dan cara yang berlainan dengan Pas kerana UMNO mempunyai banyak keutamaan terhadap umat Islam termasuk kekuatan dari segi ekonomi dan politik.
Kesungguhan UMNO dan Dr. Mahathir antara tindakan terawal beliau selepas menjadi Perdana Menteri ialah menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Pelaksanaan Hukum Hudud peringkat Jabatan Perdana Menteri yang diketuai oleh (Allahyarham) Prof Ahmad Ibrahim, seorang tokoh perundangan Islam yang amat diakui oleh masyarakat antarabangsa, bukannya peguam sekular seperti Tun Salleh Abas dan Wan Mutalib Embong yang merangka Draf Undang-Undang Jenayah Syariah Kelantan 1993 (Hudud) dan Hudud Terengganu.
Banyak perkara yang disarankan oleh jawatankuasa tersebut dilaksanakan secara perlahan-lahan tetapi berterusan.
Antara lain pelbagai perkara pembaikan dan pelaksanaan peringkat bawahan perlu dilakukan sebelum melaksanakan hudud ini. Ini termasuk melakukan secara sedikit demi sedikit dan beransur-ansur serta memperbaiki kualiti pentadbiran Islam negeri-negeri.
UMNO menyedari bahawa hukum hakam Allah swt bukannya bahan mainan politik atau janji-janji pilihan raya. UMNO hanya boleh berjanji perkara yang mampu dilakukannya. Bukan cara UMNO untuk menang pilihan raya melalui janji palsu, apatah lagi janji menggunakan agama.
Tapi Pas sanggup membuat manifesto khas untuk Terengganu kononnya mereka akan melaksanakan hudud jika menang di Terengganu. Bila menang sekali lagi disalahkan kerajaan Pusat.
Jika tahu kuasa di tangan Pusat mengapa manifesto khas mengenai Hudud hanya untuk Terengganu, bukannya dalam manifesto pilihan raya pembangkang peringkat nasional?
Ayat-ayat Allah swt digunakan sebagai umpan pilihan raya walaupun mengetahui tidak mampu melaksanakannya. Inilah satu percaturan menipu rakyat yang amat licik dan tragis kepada umat Islam.
Sama ada hudud terlaksana atau tidak bukan satu ukuran keIslaman sesebuah kerajaan atau seseorang pemimpin. Apatah lagi bertuahnya orang Islam dapat menguasai kepimpinan negara sungguhpun jumlah bukan Islam hampir menyamai orang Islam.
Jika UMNO juga seperti Pas yang beremosi dan bersentimen melulu setiap masa, bolehkah kepimpinan Islam di negara ini menjadi kukuh, kuat dan dihormati oleh bukan Islam?
Daripada mempunyai kerajaan yang lemah dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk umat Islam kecuali hudud (itu pun belum tentu terlaksana); lebih baik mempunyai kerajaan yang kuat yang tidak dapat melaksanakan hudud tetapi boleh melaksanakan banyak perkara yang lebih besar untuk umat Islam.
Ini semua adalah kebijaksanaan UMNO yang tidak ada kepada Pas.
Selebihnya terserah kepada kita sama ada untuk meyakini janji pas yang tidak pernah tertunai sungguhpun telah memerintah dua buah negeri atau mengukuhkan kedudukan UMNO, parti yang telah sekian lama mentransformasikan umat Islam dari zaman gelap kepada perubahan yang penuh kegemilangan pada hari ini dan masa depan.
Terserah juga kepada kita sama ada untuk mempercayai para penceramah Pas yang hidup dalam dunia impian dan idealis tanpa pernah mengenali erti dunia realiti cabaran politik semasa; atau mempercayai pandangan penasihat Presiden Iran yang berpengalaman duduk di dalam pemerintahan sebuah negara yang suatu ketika penuh dengan aura yang dianggap sebagai kebangkitan Islam.
Wallahualam. Yang baik dari Allah swt, yang cela dari penulis yang penuh kelemahan.