Kerajaan tarik subsidi dari rakyat kerana mahu melangsaikan hutang tertunggak dari 1MDB

Kerajaan tarik subsidi dari rakyat kerana mahu melangsaikan hutang tertunggak dari 1MDB
Lebih baik berusaha menyalakan lilin dari menyumpah kepada kegelapan.Pepatah pernah berbunyi: Jika hendak merosakkan tanaman "racunlah akarnya. "Jika hendak merosakkan "bangsa", racunilah "Sejarah" mereka...

Saturday, 12 November 2011

Perpecahan Melayu kritikal




Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammed berulang kali mengingatkan bangsa Melayu agar terus bersatu. Seperti katanya, menegur sudah, marah sudah dan menangis pun sudah, namun ternyata apa yang dihajati dan diharap belum sepenuhnya tercapai. Malah perpecahan dalam kalangan Melayu dilihat semakin berada pada tahap kritikal.

“Biarpun orang benci saya, orang marah saya, tapi saya perlu katakan itu...” kata Tun.

Bersama Editor Sinar Harian, Lailatun Khalilah Nasir dan jurufoto, Shahrin Nizam, ikuti pandangan Tun dalam wawancara yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.


                                                            

Setelah melalui siri pilihan raya yang cemerlang di bawah pimpinan Tun dahulu, adakah keputusan PRU-12 tiga tahun lalu sudah Tun jangka?

Tun M: Saya sudah jangka prestasi memang merudum. Itu jelas kerana saya melihat kebencian orang pada kerajaan waktu itu. Ditambah pula ramai pemimpin Umno yang menyokong Pas. Saya tahu mereka menyokong Pas kerana terlalu benci untuk mengundi Umno (BN). Ini disebabkan kita mempunyai pemimpin tetapi tidak mempedulikan kebajikan rakyat. Sebab itu beberapa negeri kita jatuh kepada pihak pembangkang pada masa itu.


Adakah faktor tidak tunai janji, tidak jaga kebajikan rakyat itu masih wujud pada hari ini dan adakah sokongan kepada Umno semakin baik?

Tun M: Ia masih wujud walaupun sudah banyak diperbaiki. Kemungkinan untuk menang mungkin boleh dan kemungkinan untuk kalah juga boleh... keputusannya mungkin 50–50 kalau kita adakan pilihan raya dalam tempoh terdekat. Kepercayaan orang Melayu belum pulih sepenuhnya terhadap pemimpin kita (Barisan Nasional).


Apa yang paling kritikal yang perlu kita atasi pada waktu ini apabila kita bercakap mengenai Melayu.

Tun M: Paling kritikal dan penting pada waktu ini ialah perpecahan orang Melayu. Ia mesti diatasi segera. Ini Kerana Melayu kini sudah mempunyai pelbagai parti politik yang mereka boleh sokong. Dulu hanya Umno dan Pas, sekarang tidak lagi, Sudah ada KITA dan sebagainya. Jadi kita orang Melayu sudah berpecah menjadi tiga atau mungkin lebih. Kita perlu sedar kita tidak lagi majoriti. Sedangkan untuk memerintah, kita bergantung kepada majoriti. Sekarang siapa yang menang itu yang kita sokong, jadi kita terpaksa menunggu keputusan mereka.

Sudah banyak kali saya katakan, orang Melayu kena bersatu. Tapi kita degil. Sebagai contoh Pas, mereka Melayu tetapi mereka sanggup bekerjasama dengan DAP. Sedangkan Umno minta kerjasama dulu tapi mereka tidak mahu, dengan DAP mereka mahu. Ini yang saya kata Melayu tidak mahu bersatu. Dengan DAP mereka sanggup gugurkan Negara Islam. Pada pandangan saya mereka ini hanya bekerjasama untuk menang sahaja. Tentang prinsip perjuangan, mereka tidak peduli. Melayu yang sedar hari ini perlu kembali bersatu demi survival bangsa.


Saya melihat faktor kepimpinan masa kini membuatkan ramai golongan muda keliru dengan politik semasa. Apa yang harus dilakukan untuk mengembalikan keyakinan golongan muda?

Tun M: Seharusnya pemimpin pada masa kini perlu menerangkan pada mereka. Kalau ini dibuat (penerangan dengan jelas) mereka tidak akan keliru. Sebab itu peranan pemimpin perlu untuk menerangkan satu persatu kepada orang muda dan juga semua agar mereka tidak mendengar sebelah pihak sahaja. Jika penjelasan dibuat mereka terpaksa dengar dua belah pihak. Cuma apa yang dilihat adalah kelemahan kita untuk menghujahkan dengan baik pendirian kita supaya tidak dimanipulasi pihak yang satu lagi.

Kita kena bijak dan jangan terlalu mengikut nafsu dan emosi terutamanya dalam sesuatu perkara. Jangan marah itu... marah ini tidak menentu. Sebagai pemimpin kita juga tidak boleh mengikut emosi. Kita kena imbang, kalau baik kita kata baik, yang buruk kita buruk.


Melayu masih perlukan tongkat

Tun dilihat selalu membangkitkan hal Melayu, mungkin ada impian Tun terhadap bangsa ini yang belum tercapai sepanjang Tun menjadi Perdana Menteri?

Tun M: Memang ada... Saya berusaha bersungguh–sungguh untuk memajukan orang Melayu setaraf dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Tapi ini satu usaha yang saya tidak dapat saya jayakan. Kalau boleh kita mahukan 30 peratus kerjasama daripada orang Melayu berada di tangan orang Melayu tetapi kita tidak dapat, cuma yang ada adalah institusi kerajaan bagi orang Melayu.. Sehingga kini nilai budaya orang Melayu tidak secocok dengan kemajuan yang kita capai.


 

Bagaimana dengan slogan Melayu Boleh’yang dikatakan sebagai pencetus semangat Melayu? Ia hanya tinggal slogan?

Tun M: Kita percaya...kita mempunyai kebolehan, kita boleh...tetapi tidak bermakna bahawa kita boleh mencapai sesuatu. Kita Boleh bermakna, kita mempunyai kebolehan. Tetapi kadang-kadang kita lupa dan tahu sejarah kita, tentang latar belakang kita. Kita lupa bahawa kita adalah puak miskin suatu ketika dahulu dalam bidang ekonomi. Apabila kita berjaya kita sebenarnya hanya berjaya sedikit. Tapi kita sudah rasa kita cukup maju, walhal kita masih terkebelakang.

Jadi, Melayu masih perlu diberi tongkat?

Tun M: Ada setengah-tengah Melayu masih perlu diberi tongkat, Namun ada juga yang sudah boleh lepas pun. Bagaimanapun ada setengah daripada kalangan Melayu ini mendapat biasiswa dan belajar sehingga menjadi ahli profesional menganggap bahawa sekarang ini tidak perlu lagi diberikan tongkat buat Melayu, tapi saya nak katakan bahawa memang masih ada Melayu yang perlu diberi tongkat untuk terus bersaing.

Peratusan kita yang berjaya pada masa ini tidak perlu saya nafikan, namun peratusan Melayu yang berjaya di Semenanjung jika hendak dibandingkan dengan kaum lain, jumlah mereka masih rendah. Pendek kata tidak mencapai 30 peratus pun.


Jika begitu situasinya kini, apa akan jadi dengan Wawasan 2020 yang Tun sendiri gagaskan sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu?
Hilang begitu saja?

Tun M: Mengenai Wawasan 2020 ini, kalau kita hendak capai, sebenarnya kita boleh capai dengan mudah. Kalau kita tidak peduli tentang bahagian orang Melayulah. Kita boleh capai tetapi dengan cara menukar strategi pendekatan kita untuk mencapai wawasan 2020 tersebut. Tetapi tak tahulah kalau kerajaan sekarang ini banyak menukarkan, atau memperkenalkan strategi perubahan yang baru. Namun, bagi saya, apa yang ada kini ia tidak mencukupi untuk mencapai Wawasan 2020.


Menukar strategi yang bagaimana?

Tun M: Kita masih bergantung kepada orang asing, Kalau banding dengan orang Jepun, Taiwan, Korea, China dengan Malaysia, pertumbuhan ekonomi atau pembangunan negara mereka berasaskan kepada rakyat mereka sendiri. Mereka membeli mesin, perkakasan dari luar tetapi rakyat mereka melaksanakannya, namun kita tidak macam itu. Kita jemput orang luar datang kadang-kadang dengan teknologi mereka ke negara kita. Hingga ada kalanya kita sendiri tidak belajar langsung penggunaan teknologi itu. Jadi selamanya kita masih bergantung pada mereka. Ertinya penguasaan teknologi itu tiada. Sebab itu orang kita kurang maju. Sekarang masa sudah sampai yang mana kita sendiri yang patut mempunyai pengusaha industri yang membeli teknologi tetapi membuat keputusan sendiri seperti cara Jepun. Seperti nama-nama yang terdapat di Malaysia contohnya Hyundai, Mitshubishi, semua bergantung kepada teknologi mereka yang tidak memerlukan mereka datang ke sini. Ini yang kita dan kerajaan perlu lakukan. Baru wawasan 2020 itu dapat kita capai dengan berjaya.


Hal keluarga dan wanita

Adakah Tun merasakan kepimpinan Tun dalam politik dan pentadbiran mampu diwarisi anak-anak?

Tun M: Muhkriz...lah, dia paling menonjol berbanding dengan anak-anak lain kerana terlibat dengan bidang politik. Saya selalu berpesan pada anak-anak jika melakukan sesuatu perkara dalam bidang perniagaan, politik atau apa sahaja seharusnya memberi tumpuan yang penuh. Sebagai ayah, Mukhriz juga selalu meminta pandangan dari saya, dan saya akan memantau segala tindakan anak-anak.


Sedikit mengenai wanita, apa pandangan Tun apabila ramai wanita terpedaya dengan pujukan lelaki, dan banyak gejala negatif timbul darinya.

Tun M: Ibu bapa kini sibuk... jadi masa yang berkualiti untuk anak-anak tiada, oleh itu didikan agama itu yang penting, didikan agama bukan mengajar sembahyang sahaja tetapi ciri-ciri keislaman itu perlu diterap dalam jiwa anak-anak.


Sedikit mengenai pencapaian wanita di Malaysia, adakah kejayaan Yingluck Sinatwatra yang diangkat menjadi Perdana Menteri Thailand memberi isyarat bahawa wanita Malaysia juga boleh melakukan itu?

Tun M: Di Malaysia, lelaki masih lagi mendominasi. Dalam Umno umpamanya wanita yang bekerja kuat. Itu sememangnya saya tahu. Contohnya kita mempunyai pergerakan Puteri, pergerakan Wanita, jadi kepimpinan wanita di Malaysia sememangnya tidak dapat dinafikan. Tidak mustahil wanita boleh menjadi pemimpin tertinggi tetapi hakikatnya sekarang masih didominasi oleh lelaki.


Apa prinsip yang Tun pegang ?

Tun M: Prinsip saya, jika nak buat sesuatu, saya tidak akan beritahu pada sesiapa pun kecuali ia betul-betul memerlukan pandangan. Ini kerana jika kita sudah berjanji tetapi tiba-tiba kita tidak dapat tunaikan maka orang akan cakap kita mungkir janji. Jadi saya tidak buat janji. Jadi kalau apa yang saya nak buat terpaksa ditangguhkan ataupun bertukar fikiran tidak mahu buat, orang tidak akan boleh mengatakan kepada saya yang saya mungkir janji. Kerana itu keputusan bersara dari jawatan Perdana Menteri itu dulu saya tidak bercerita pada orang lain. Contoh, kalau saya kata tahun depan saya hendak berhenti tetapi tidak berhent
i, nanti orang sudah tidak percaya pada saya lagi. Sebab itu saya mengambil kesempatan untuk beritahu kepada semua (di hadapan semua orang secara terbuka) sebab apabila saya sudah umum begitu, saya sudah tidak boleh undur lagi dah. Dan tiada siapa pun boleh halang keputusan saya.

p/s: Apa yang dinyatakan oleh tun memang benar pas bertanding hanya untuk menang dengan BN walaupun terpaksa mengadai maruah bangsa , agama dan prinsip.ciri2 ini hanya mengaibkan bangsa melayu. coz sifat melayu mudah lupa terlalu banyak diambil kesempatan oleh bangsa lain untuk berkuasa.hindarkan pertuduhan, carilah perpaduan. Kita bukan mencari siapa punca perpecahan tetapi mencari titik pertemuan ke arah penyatuannya Melayu. Bertengkar tidak akan menyelesaikan  masalah.

Perpecahan dalam kalangan Melayu dilihat semakin berada pada tahap kritikal" memang tepat sekali.

Sebagai bekas Perdana Menteri Malaysia yang tepat sekali diberi gelaran Bapa Pemodenan dengan tempoh berkhidmat 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003, tentunya Tun Mahathir lebih arif terhadap masalah orang Melayu, terutama politik dan ekonomi bangsa sendiri malah pembangunan negara ini yang dilaksanakan sedaya upayanya demi rakyat Malaysia sepanjang pemerintahan 22 tahun itu.

Tentunya rakyat Malaysia menghargai sanjungi dan bersyukur kerana demi rakyat Malaysia, segala kemudahan infrustruktur tarhampar megah bangga dan mendapat manfaat semua rakyat negara ini sama ada secara langsung atau sebalknya. Moga Allah SWT yang membalasnya.

Begitupun Tun M pernah berkata, begitu juga pemimpin lain yang mengungkapkan perkataan begini apabila ingin melakukan sesuatu dan disanggah akan berkata: " Bukan senang untuk memuaskan hati semua orang." Apapun pemimpin atau sesiapa yang banyak berjasa hanya mahu dihargai bukan dikeji jika tidak mahu berterima kasih pun.


Sekadar berkongsi supaya sama-sama mensyukuri kerana sejak Tun M menjadi Perdana Menteri, iaitu 22 tahun dari 1981-2003 ditambah hingga semalam 11.11.2011 sudah 30 tahun tentunya jika anda dilahirkan sekitar 1981 ... Alhamdulillah membesar hingga hari ini sudah usia 30-an dan jika lahir sekitar 2003 kini usia 8 tahun, pelbagai kemudahan dan pembangunan yang dirintis oleh Tun M, walau suka tidak suga bagi sesetengah rakyat, segala kemudahan itulah yang dinikmati jika disedari baguslah. 

Lihat sekeliling, selepas 2003 apa mercu tanda atau pembangunan yang baru tentunya penambahbaikan dan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat negara ini, yang memaksa Pak Lah dan kini Datuk Seri Najib memikirkan insentif bagi membantu rakyat, terutama berpendapatan rendah terus hidup. Sementara yang sudah berada memanfaatklan segala kemudahan dibangunkan Tun M. Perlu diingat Tun M berjaya menggunakan modal insan yang tak ternilai pada dirinya untuk menunaikan amanah Allah SWT, supaya dimanfaatkan semua bangsa.

Soal pertembungan politik dan masalah lain itu yang arif mengenainya biar mereka hadapi, tapi kemudahan untuk rakyat diutamakan sepanjang pemerintahan Tun M yang tentunya membabitkan projek yang dikatakan Projek Mega yang kini siapa menggunakannya.

Terlalu banyak sumbangan Tun M cukuplah jika dinyatakan sebahagiannya dengan pelbagai dasar projek pembangunan diperkenalkan seperti kempen Bersih Cekap dan Amanah; Kepimpinan Melalui Teladan, Dasar Kependudukan 70 juta; Dasar Pandang ke Timur; penswastaan dan Dasar Perindustrian Negara.

Sejajar hasrat Tun M mahu Malaysia jadi negara maju dan rakyat mampu bersaing dicernakan melalui Wawasan 2020.

Melalui Dasar Perindustrian Negara negara dapat menghasilkan kenderaan nasional Proton Saga dan motosikal Kriss, di samping pembinaan Litar Formula 1 Sepang, Transit Aliran Ringan (LRT), Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Putrajaya, Cyberjaya, Menara KL dan Menara Berkembar Petronas.

Semua itu kini menjadi kebanggaan negara dan dimanfaatkan semua rakyat. Semua itu dapat diusahakan Tun M yang kini Allah SWT beri keshatan dan panjangkan usia sudah menjangkau 86 tahun pada 20 Disember bulan depan. Itu usaha dan jasnaya, yang beliau minta sejak dulu hingga kini, orang Melayu bersatulah, ekonomi orang Melayu yang beliau mahu capai menerusi DEB iaitu 30 peratus tak juga kesampaian. Lihatlah sendiri.

Apapun Islam itu bersaudara...konsep Islam itu sendiri luas skopnya demi kejayaan dunia dan akhirat dengan mengambil kira seruan Islam itu sendiri bila berbicara jangan mengkeji tetapi berpesan kepada kebaikan dan kebenaran kerana Islam mencegah permusuhan. Jadi Tun M meminta orang Melayu bersatu dan renungkanlah segala kata-kata beliau selama ini, sama saja.

Apa yang beliau mahu sudah dijayakan sepanjang 22 tahun, kita dan pemimpin kini kena berjuang lebih lagi dengan menambah pembangunan rohani dan jasmaniah. Apapun yang baik itu daripada Allah SWT kita sekadar khalifah memikul amanah jika gagal akan disoal di akhirat. Jika kita nampak kemungkaran berjuanglah mencegahnya secara berhemah. Buat yang terbaik untuk hari ini dan masa depan....Insya-Allah terlaksana.

Sesungguhnya semuanya milik Allah SWT... tanya diri kita, kita buat apa jadi insan mulia atau orang awam.. jika orang awam jadilah orang awam yang terbaik jika pemimpin, jadilah pemimpin yang terbaik. 


1 comment:

Darah Satria said...

hindarkan pertuduhan, carilah perpaduan. Kita bukan mencari siapa punca perpecahan tetapi mencari titik pertemuan ke arah penyatuannya Melayu. Bertengkar tidak akan melangsaikan masalah.

biar hati berbicara & menilainya

biar hati berbicara & menilainya