Setelah majlis pecah tanah dan pelancaran kutipan derma projek Lebuh Raya Rakyat oleh Kerajaan PAS Kelantan, rasa masam mula menggangu kemanisan janji tersebut.
Bermula dengan pendedahan nama akaun syarikat yang memungut derma seperti didedahkan olehRBF Online, kisah lama yang menghantui PAS dan kutipan derma mula datang kembali. Ketakutan mula wujud kalau-kalau Lebuh Raya ‘Husam’ ini bukan sahaja indah khabar dari rupa seperti gegar gempita projek Takaful Kifalah Warga Emas, projek Jihad Ternak Kambing Jamnapari, projek Depu dan Dinar Emas Kelantan. Itu adalah senarai ‘pet project’ YB Dato’ Husam Musa, Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Perancang Ekonomi & Kebajikan PAS Kelantan. Habis perasmian, masalah bermula.
Tetapi kemelut ini bukan setakat menjadi identiti Husam bahkan ia juga menjadi jatidiri PAS Kelantan yang diterajui ‘ayah politik’ Husam iaitu Nik Aziz sendiri.
Pelbagai projek dirasmikan dan dibuat pecah tanah, tetapi siapnya tidak pernah. Antaranya yang mampu disenaraikan termasuklah projek AFTA City, Projek Bandar Perikanan, Projek Jambatan Palekbang, Projek Petrokimia di Pantai Senok, Projek Stadium Tertutup dan terkini ialah projek stadium Bukit Merbau. Bahkan projek Bandar Baru Tunjong pun jika tidak kerana pembangunan pesat projek-projek Persekutuan di situ, tidak akan ada apa melainkan pokok kelapa dan sawah gersang.
Secara kasar, jika dicampur kesemua kos projek tersebut ianya membawa kepada hampir RM10 Billion. Terkini dicampur pula projek Lebuh Raya Rakyat bernilai RM1.9 Billion.
Tidak ada yang mustahilnya bagi Kerajaan Negeri untuk membina projek-projek bernilai berbillion ringgit. Bahkan Kerajaan Negeri Melaka yang mendapat peruntukan persekutuan yang amat kecil jika dibandingkan dengan Kelantan, mampu melakukan lebih dari yang dapat dibayangkan oleh kebanyakan kita.
YAB Ketua Menteri Melaka, yang dikeji dan dihina oleh pimpinan PAS, sebenarnya jauh lebih mulia dari YAB Menteri Besar PAS Kelantan di dalam menunaikan janjinya kepada rakyat.
Segala kelemahan dan kekurangan PAS ini berpunca dari kelemahan urus tadbir dan ketidakmampuan untuk mengembangkan sumber pendapatan negeri. Akhirnya, pemimpin PAS Kelantan kembali kepada satu benda yang amat mereka pandai lakukannya, iaitu mengutip derma. Setelah puas mengutip derma dari tauke-tauke balak dan dari ahli partinya sendiri, sekarang rakyat Kelantan pula menjadi mangsa kutipan derma PAS.
Selain dari mengutip derma, PAS juga bijak menyalahkan orang lain didalam semua benda dan amat arif dalam strategi benci-membenci. Sudah pasti peristiwa masam Lebuh Raya Rakyat ini akan disabit kesalahannya kepada Barisan Nasional.
Apa yang PAS tidak pernah khabarkan kepada rakyat bahawa, hampir setiap jalan di Negeri Kelantan, tidak kiralah jalan persekutuan ataupun jalan negeri adalah dibuat hasil ‘derma’ Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional. Bahkan projek jalan raya sepanjang 30 kaki untuk masuk ke rumah pimpinan-pimpinan PAS yang diberi kepada kontraktor berkopiah hijau itu juga datangnya dari wang pemberian Barisan Nasional.
Dari tahun 2006 hingga 2011 sahaja, Kerajaan Barisan Nasional telah memperuntukan sejumlah hampir RM500 juta terus kepada Kerajaan PAS Kelantan bagi tujuan penyelenggaraan jalan negeri. Ini tidak termasuk pemberian tahunan untuk penyelenggaraan cerun jalan negeri, bil lampu jalan dan lampu trafik.
Dari 2008 hingga 2011 sahaja, Kerajaan Persekutuan memberi sebanyak lebih RM 22 juta bagi tujuan tersebut terus kepada Kerajaan PAS Kelantan. Data-data ini terdapat didalam Laporan Ketua Audit Negara dan ia juga tercatat setiap tahun di dalam penyata kewangan Kerajaan PAS Kelantan.
Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan juga menyediakan peruntukan untuk naiktaraf jalan-jalan negeri dibawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan. Pada tahun 2011 sahaja, sejumlah hampir RM15 juta diperuntukan kepada 12 PBT di Kelantan.
Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah juga menyediakan peruntukan untuk pembinaan jalan luar bandar dan jalan kampung. Di dalam Rancangan Malaysia Ke 9, KKLW telah membelanjakan hampir RM5 juta untuk tujuan tersebut di dalam negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS.
Pimpinan PAS harus sedar, mereka perlu bijak mengurus tadbir negeri dan berusaha menambah sumber pendapatan negeri bagi menjamin segala janji-janji mereka dapat ditunaikan. Pemimpin PAS berceramah dan memaki hamun musuh politik mereka hampir setiap malam tidak akan membawa sebarang hasil kepada rakyat Kelantan. Ia hanya sekadar menambah sumber pungutan derma untuk parti PAS, tuan punya tapak ceramah dan para penceramah.
Rakyat hanya dapat rasa masam dari janji manis.