Kerajaan tarik subsidi dari rakyat kerana mahu melangsaikan hutang tertunggak dari 1MDB

Kerajaan tarik subsidi dari rakyat kerana mahu melangsaikan hutang tertunggak dari 1MDB
Lebih baik berusaha menyalakan lilin dari menyumpah kepada kegelapan.Pepatah pernah berbunyi: Jika hendak merosakkan tanaman "racunlah akarnya. "Jika hendak merosakkan "bangsa", racunilah "Sejarah" mereka...

Sunday, 16 December 2012

DAP penyambung perjuangan PAP-Part 7



 Pembentukan gabungan parti-parti pembangkang bukan Melayu hasil insiatif  PAP tersebut juga dilihat oleh orang Melayu sebagai satu bukti bahawa Lee Kuan Yew sebenarnya mempunyai cita-cita tinggi untuk meluaskan pengaruh politiknya dan akhirnya nanti dapat menguasai Semenanjung Malaysia. Justeru itu, pelbagai slogan dan poster telah dihasilkan mengkritik dan menuntut Lee Kuan Yew ditahan.
Desakan tersebut semakin hebat kedengaran ketika Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan pada pertengahan bulan Mei 1965. Bahkan perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang, Kuala Lumpur merayu supaya Sultan Selangor membawa perkara tersebut untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu.Manakala Perhimpunan Agong Pewakilan Pergerakan Pemuda UMNO yang diadakan pada bulan Mei 1965, telah mengeluarkan beberapa usul, antaranya mengutuk sikap Lee Kuan Yew kerana fitnah-fitnahnya di luar negeri dan pendapatnya mengenai bangsa Melayu. Di samping itu, sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agong UMNO pada 15 Mei 1965, lebih dari 100 orang pemuda Melayu dari Singapura telah mengadakan piket di bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka. Mereka menuntut supaya kerajaan
pusat mengambil tindakan tegas terhadap Lee Kuan Yew.

 Mereka turut membawa sepanduk yang mengutuk Lee Kuan Yew antaranya berbunyi “we suffer under PAP rule” dan “ganyang Lee Kuan Yew”. Di samping itu, akhbar-akhbar Melayu, terutamanya Utusan Melayu dan Berita Harian turut memuatkan kenyataan yang membidas Lee Kuan Yew dan PAP. Keadaan
ini kemudiannya telah menimbulkan saling bidas membidas antara dua pihak, iaitu antara orang Melayu dengan penyokong PAP di Singapura. Sementara itu, PAS turut menyarankan supaya Tunku Abdul Rahman dan kerajaan bertindak tegas terhadap Lee Kuan Yew dan penyokongnya, sebagaimana tindakan Tunku terhadap parti-parti pembangkang Melayu yang menentang pembentukan Malaysia. Bahkan Tun Abdul
Razak yang dikenali sebagai pemimpin yang pendiam dan tidak suka mengecam secara terburu-buru telah mengeluarkan kenyataannya pada bulan Mei 1965 menggesa rakyat Singapura mencari seorang pemimpin yang lain untuk menggantikan Lee Kuan Yew.

Walaupun terdapat gesaan kuat dari orang Melayu supaya menangkap Lee namun para menteri Perikatan memutuskan akan menentang Lee secara demokratik, bukan melalui penangkapannya. Di sebalik gesaan tersebut Tunku Abdul Rahman dilihat lebih bersabar dengan tindakan Lee. Tunku sendiri telah memberi tahu orang Melayu dalam Perhimpunan Agong UMNO pada 16 Mei 1965 bahawa beliau tidak memandang
Lee Kuan Yew sebagai lawan tetapi menyatakan “kalau kita ambil tindakan terhadap Lee bererti kita menyekat kebebasan bercakap”.

Cabaran gagasan “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan oleh PAP dan didukung oleh beberapa parti pembangkang memaksa Perikatan memberi penerangan kepada rakyat mengenai bahaya gagasan tersebut. Natijahnya pada tahun 1965, parti Perikatan telah menerbitkan risalah kecil yang bertajuk “Pendapat Parti Perikatan Tentang Konsep Malaysia Bagi Rakyat Malaysia” yang ditulis oleh Dr. Ismail bin Abdul
Rahman (Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri). Dr. Ismail Abdul Rahman telah mengkritik pendekatan “Malaysian Malaysia” kerana tidak sesuai dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Perikatan untuk memperbaiki keadaan tidak seimbang di antara kaum Melayu dengan kaum bukan Melayu.

Pendekatan tersebut adalah berdasarkan pendapat dan pengalaman PAP sendiri ketika memerintah Singapura yang tidak mempunyai masalah perkauman. Di Singapura, kaum Cina menjadi kaum majoriti dan
kaum lain hanya golongan kecil sahaja. Apa pun parti yang memerintah Singapura, mereka sudah pasti akan mementingkan kehendak penduduk golongan majoriti di negara tersebut. Pendekatan tersebut hanya sesuai di Singapura tetapi tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia. Dr. Ismail telah menyalahkan pendekatan PAP tersebut sebagai satu faktor yang menyebabkan berlakunya pergolakan kaum dan meningkatnya
semangat perkauman terutama pada tahun 1964 dan 1965.

Menurut Dr. Ismail juga, usaha PAP mendirikan sebuah masyarakat yang sama dan tidak bersifat perkauman sesuatu perkara yang tidak akan diterima oleh orang Melayu. Ini disebabkan orang Melayu terpaksa bersaing dengan kaum Cina, padahal orang Melayu belum lagi bersedia untuk bersaing dengan kaum tersebut. Dr. Ismail memberi amaran bahawa tindakan PAP tersebut amat merbahaya. Ia bukan sahaja akan menimbulkan pertelingkahan kaum,bahkan kedudukan raja-raja Melayu akan turut dihapuskan. Perkara ini dinyatakan oleh Dr. Ismail;

Pertuturan  Lee Kuan Yew mengatakan orang Melayu tidak berbeza dengan kaum lain bagi mewarisi negeri ini, telah menukar pendapat yang dianggap oleh sebahagian besar rakyat Malaysia bahawa soal ini adalah soal ilmiah, untuk dijadikan satu soalan politik yang hebat. 

                                                        

Dengan menyindir bahawa Malaysia adalah berbentuk feudal dan lesapnya ketua-ketua puak kaum di Afrika dan raja-raja di India sebagai satu alamat yang akan berlaku di Malaysia dalam masa hadapan, mereka bukan sahaja telah menyemaikan benih perasaan wasangka dan curiga di kalangan orang-orang Melayu, bahkan termasuklah amaran mereka terhadap Raja-raja Melayu bahawa riwayat mereka akan tamat tidak lama lagi.


Jelaslah, penerbitan buku kecil tersebut memaparkan kebimbangan orang Melayu terhadap penghakisan hak-hak mereka yang telah dijamin dalam Perlembagaan sekiranya gagasan “Malaysian Malaysia” dilaksanakan di Malaysia. Dr. Ismail telah memberi amaran lebih awal, bahawa perlaksanakan gagasan “Malaysian Malaysia” akan mengundang kepada berlakunya konflik antara kaum.

No comments:

biar hati berbicara & menilainya

biar hati berbicara & menilainya