Kerajaan tarik subsidi dari rakyat kerana mahu melangsaikan hutang tertunggak dari 1MDB

Kerajaan tarik subsidi dari rakyat kerana mahu melangsaikan hutang tertunggak dari 1MDB
Lebih baik berusaha menyalakan lilin dari menyumpah kepada kegelapan.Pepatah pernah berbunyi: Jika hendak merosakkan tanaman "racunlah akarnya. "Jika hendak merosakkan "bangsa", racunilah "Sejarah" mereka...

Wednesday, 19 December 2012

Pesanan Tun Dr Mahathir Mohamad


                       

Artikel ini agak panjang, namuan memberi pengertian  yang begitu mendalam disebalik kata-kata pemimpin  kita yang disayangi ini.

renung-renugkanlah.


 EMPAT puluh dua tahun bukan satu jangka masa yang panjang dalam sejarah sesebuah negara. Negeri-negeri Melayu telah dijajah lebih dari 400 tahun jika dikira dari tarikh kejatuhan Melaka. Dengan perkataan lain bangsa Melayu dan rumpun Melayu mengambil masa lebih dari 400 tahun untuk merebut balik kemerdekaan, untuk membebaskan diri.

Sebaliknya, kejatuhan negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak ke tangan bangsa asing mengambil masa yang amat pendek, hanya beberapa hari atau minggu sahaja.

Jika kita ingin sejarah penaklukan kita oleh kuasa asing tidak berulang hendaklah kita sedar bahawa kemerdekaan kita, kebebasan kita boleh dihapuskan dalam masa yang singkat. Dan setelah hilang kemerdekaan kita tidak mudah untuk mengembalikannya. Proses mengembalikan kemerdekaan akan memakan masa yang amat panjang mungkin beberapa abad. Hakikat ini perlu kita ingat jika kita menghargai kemerdekaan kita, jika kita ingin terus bebas dan merdeka, jika kita ingin kekalkan penentuan nasib kita dibuat oleh kita sendiri selama-lamanya.

Ingatlah sementara orang Melayu di Semenanjung dan di Sabah serta Sarawak bebas dan merdeka, orang Melayu ke utara dan selatan tidak seperti kita. Mereka hidup di negara orang dan selama-lamanya akan hidup di negara orang. Oleh itu insaflah dan bersyukurlah dengan nikmat hasil perjuangan kita.

Walaupun di zaman ini penjajahan dan penaklukan secara langsung oleh sesuatu bangsa ke atas negara lain sudah tidak dapat diterima lagi, tetapi ini tidak bermakna keinginan untuk menjajah sudah luput daripada budaya penjajah, khususnya etnik Eropah. Harimau tidak akan hilang belangnya. Demikian etnik Eropah masih ingin menguasai dunia, masih ingin menjajah, jika tidak secara langsung sekurang-kurangnya secara tidak langsung, dengan mendominasi negara lemah atau dengan mengguna boneka mereka.

Inilah yang sedang kita lihat sekarang. Penjajah akan menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka mempunyai niat untuk menjajah semula negara bukan milik etnik Eropah, tetapi hasil daripada tindakan mereka tidak banyak berbeza daripada penjajahan. Secara efektif wilayah yang menjadi sasaran mereka dikuasai oleh mereka, diletakkan di bawah telunjuk mereka, dan sebenarnya diperintah oleh mereka. Kerajaan negara-negara yang mereka kuasai tidak lagi bebas untuk mengurus ekonomi atau politik dalaman dan luar.

Semasa dunia terbahagi kepada dua blok, negara-negara kecil di Asia dan Afrika mempunyai pilihan untuk menukar blok jika mereka berasa terancam oleh mana-mana blok. Dengan itu tekanan ke atas mereka tidaklah terlalu berat. Kedua-dua blok berhati-hati kerana tekanan yang terlalu kuat boleh menyebabkan mangsa mereka mencari perlindungan blok yang satu lagi.

Malangnya, blok komunis ditewas dan dunia tinggal dengan satu blok sahaja - iaitu blok kapitalis. Bebas daripada kemungkinan negara-negara berkecuali memilih untuk menyertai blok komunis, negara kapitalis tidak lagi membendung atau menyembunyi keinginan mereka untuk menjajah semula. Mereka juga tidak lagi perlu menyembunyi taring mereka. Apa dia sistem kapitalis yang sebenar didedahkan tanpa segan-silu.

Kuasa Pasaran Menjadi Penentu

Mengikut sistem kapitalis yang sekarang diperkenalkan, pemerintah atau kerajaan tidak lagi berhak mengawal gerak-geri peniaga dan pengusaha iaitu kapitalis dalam pasaran yang bebas. Kuasa pasaran atau market-forces akan menentukan segala-galanya. Jika sesuatu yang dilakukan oleh mereka merugikan mereka maka kononnya mereka dengan sendirinya akan mengawal perbuatan itu atau menghentikannya.

Dengan itu segala peraturan dan undang-undang yang mengawal dan menguasai aktiviti kapitalis di negara mereka dimansuhkan melalui proses deregulation yang disarankan oleh mereka. Maka bertambah kayalah yang berjaya dan berwibawa, dan hancurlah yang lemah dan kecil. Melalui proses Darwin 'survival of the fittest' maka muncullah gergasi kapitalis yang memiliki atau menguasai jumlah modal yang tidak terhad.

Gergasi-gergasi ini mendapati negara mereka terlalu sempit untuk cita-cita besar mereka. Kenapakah, tanya mereka, sempadan negara mereka harus membataskan kegiatan mereka untuk mengejar keuntungan yang tidak terhad? Kenapakah mereka tidak boleh mengguna modal besar mereka di seluruh dunia? Kenapakah negara-negara yang mempunyai potensi untuk dieksploitasi harus menyekat gergasi-gergasi kapitalis ini dengan mengadakan undang-undang tertentu yang mengehadkan kegiatan perniagaan kepada warga mereka sahaja? Kenapakah negara-negara ini juga tidak mengadakan deregulation dan memberi kebebasan kepada kuasa pasaran?

                                        
Melalui GATT atau Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan, mereka cuba meruntuhkan segala benteng pertahanan negara-negara di dunia. Mereka mengambil kesempatan daripada perkembangan teknologi telekomunikasi untuk memperkenalkan konsep dunia tanpa sempadan, a borderless world, yang kemudian ditakrif sebagai globalisation atau globalisasi.

Apabila Pertubuhan Perdagangan Dunia atau WTO ditubuhkan mereka menggunakan badan ini untuk memajukan konsep globalisasi. Mereka mengguna sebagai umpan pelaburan modal mereka yang boleh membawa kemajuan yang pesat kepada negara-negara membangun. Mereka mengugut untuk menyekat kemasukan barangan dari negara-negara industri baru, The New Industrialising Countries, jika pasaran mereka ini tidak dibuka luas untuk kemasukan barangan dan modal mereka.

Demikianlah gambaran menarik berkenaan globalisasi yang dicanang oleh mereka sehingga seluruh dunia termasuklah negara industri yang baru dan negara membangun menyambut konsep globalisasi dan berjanji akan meruntuhkan semua sempadan nasional dan membuka luas pasaran mereka kepada barangan dan modal negara maju dari Barat.

Malaysia adalah antara negara membangun yang asyik mendengar berita baik dari Barat ini sehingga membenarkan ringgit dijadikan mata wang antarabangsa yang boleh diniagakan dengan bebas. Pelaburan modal asing dalam pasaran saham digalakkan melalui road-show di negara-negara maju.

Dan Malaysia serta peniaga-peniaganya begitu gembira melihat Indeks Komposit naik dengan mendadak, jauh lebih tinggi daripada nilai sebenar saham-saham mereka.

Dengan kenaikan ini, syarikat-syarikat memiliki modal pasaran yang tinggi yang membolehkan mereka berhutang dengan banyaknya dari bank. Bagi peniaga kita, globalisasi, dunia tanpa sempadan, ternampak menarik dan akan membawa keuntungan yang tidak terhingga.

Kemungkinan Dijajah Semula

Apa yang kita tidak faham dan tidak sedar ialah keruntuhan sempadan kita mendedahkan kita kepada kemungkinan kita dijajah semula. Sama ada bekas penjajah-penjajah dari Barat berniat atau merancang untuk menakluk semula wilayah-wilayah yang telah dibebaskan oleh mereka pada pertengahan abad ini, tidak dapat dipastikan. Mereka menyangkal yang mereka mempunyai niat serupa itu. Tetapi apa yang berlaku setelah globalisasi diterima dan sempadan dirobohkan ialah negara-negara yang baru sahaja merdeka, bahkan yang tidak pernah dijajah, telah secara tidak langsung dijajah.

Senjata penjajahan yang terbaru dan amat berkesan ialah menurunkan nilai mata wang negara yang menjadi sasaran mereka. Mereka juga menyerang dan menurunkan nilai saham-saham yang diniagakan di pasaran saham negara sasar.

Apabila nilai mata wang dijatuhkan maka kuasa membeli peniaga, rakyat dan juga negara akan jatuh dan mereka tiba-tiba akan menjadi miskin. Lebih rendah nilai mata wang ditekan turun lebih lemahlah kuasa membeli.

Oleh kerana semua negara perlu mengimport pelbagai jenis barang, bahan mentah dan makanan dari luar, maka kejatuhan nilai mata wang bermakna bukan sahaja barangan import terpaksa dikurangkan tetapi harga barangan ini dalam mata wang tempatan akan naik dan inflasi akan menekan rakyat. Kehidupan rakyat, terutama yang miskin akan terancam. Mereka mungkin tidak dapat membeli makanan yang cukup, membeli ubat atau susu untuk anak.

Lebih rendah nilai mata wang tempatan berbanding dengan nilai mata wang asing yang diperlukan untuk bayaran import, lebih miskin dan daiflah rakyat negara sasaran. Adakalanya nilai mata wang tempatan diturunkan sehingga tidak berguna lagi

                                                       
Dengan kejatuhan nilai mata wang, pembayaran hutang luar sukar dibuat. Demikian juga hutang bank dalam negeri sukar dibayar. Bank-bank dan syarikat-syarikat pun rugi dan lumpuh. Pekerja mereka terpaksa dibuang dan jumlah penganggur pun meningkat. Dengan itu masalah sosial menjadi amat buruk.

Tidak cukup dengan menurunkan nilai mata wang, kapitalis Barat jenis baru ini menyerang dan menurunkan nilai saham syarikat yang disenarai dan diniagakan di pasaran saham. Melalui short-selling atau jualan singkat, iaitu menjual berturut-turut saham milik mereka atau yang mereka pinjam, harga saham ditekan turun serendah-rendahnya. Apabila harga saham jatuh lebih rendah daripada harga saham yang dicagar dengan bank, maka bank akan menuntut supaya peminjam membayar sebanyak perbezaan di antara nilai saham yang dicagar dan nilai saham di pasaran semasa. Oleh kerana semasa kegawatan semua syarikat tidak mendapat keuntungan, bahkan tidak dapat berniaga, mereka tidak dapat menunaikan tuntutan bank. Dengan itu hutang mereka menjadi hutang yang tidak dapat dibayar atau non-performing loans dan mereka tidak lagi dapat meminjam dari bank untuk berniaga. Bank pula rugi kerana terlalu banyak hutang tidak dibayar.

Di Malaysia, Kementerian Kewangan yang pada masa itu dipimpin oleh peminat International Monetary Fund (IMF) menyulitkan lagi keadaan dengan menaikkan kadar faedah kepada, secara efektif, 24 peratus; mengurangkan duit dalam bank komersial dan memendekkan masa hutang ditakrif sebagai sudah menjadi lapuk dari enam bulan kepada tiga bulan. Di masa yang sama belanjawan kerajaan dipotong sebanyak 21 peratus. Oleh kerana perbelanjaan pengurusan tidak dapat dikurangkan, maka peruntukan untuk pembangunan terpaksa dihapuskan sama sekali.

Atas arahan Kabinet, simpanan berkanun atau statutory reserve bank-bank dikurangkan sebanyak tiga peratus supaya bank mempunyai wang untuk dipinjamkan. Bank Negara menurut arahan ini tetapi di masa yang sama Bank Negara menarik balik pinjamannya kepada bank-bank sebanyak jumlah yang sama. Dengan ini arahan Kabinet tidak membawa apa-apa kesan dalam menambah kredit yang boleh dipinjamkan oleh bank.

Tindakan Kementerian Kewangan pada ketika itu, yang diilhamkan oleh IMF, telah menyebabkan aktiviti ekonomi hampir terhenti terus. Bank-bank tidak dapat mengutip hutang, syarikat tidak dapat membayar hutang. Ekonomi merosot dengan teruknya dan banyaklah syarikat yang merayu supaya mereka diberi kebenaran menjual syarikat mereka kepada orang asing.

Hasil mahsul kerajaan jatuh dengan teruknya kerana tidak ada perniagaan yang memperoleh keuntungan. Ada kemungkinan kerajaan tidak dapat menanggung perbelanjaan pengurusan. Kerajaan begitu terdesak sehingga ramai pemerhati asing meramalkan Malaysia akan terpaksa meminta pertolongan IMF dan menerima syaratnya untuk membuka ekonomi supaya orang asing dapat membeli bank dan syarikat-syarikat yang sudah tenat dengan harga yang murah.

Senjata Ekonomi Untuk Lemahkan Kita

Senjata ekonomi yang dimiliki oleh kuasa Barat, terutama kebolehan untuk menjatuhkan nilai mata wang dan harga saham memang mustajab. Mereka boleh menggunakan senjata ini untuk melemahkan sasaran mereka sehingga terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.

Kesan utama senjata ini ialah membuka negara kepada gerakan keluar-masuk modal kapitalis Barat tanpa apa-apa syarat atau sekatan. Perlindungan yang biasa diberi kepada peniaga tempatan mestilah dihapuskan supaya peniaga asing bebas bukan sahaja untuk mengambil alih sepenuhnya bank-bank dan syarikat-syarikat tempatan tetapi mereka boleh menubuhkan perniagaan dan bank-bank yang dimiliki 100 peratus oleh mereka.

Dengan kekuatan modal dan pengalaman mereka, semua perniagaan dan perusahaan tempatan akan dikuasai oleh mereka. Rakyat tempatan hanya akan menjadi pekerja mereka, yang mungkin dibenar melabur dalam syarikat mereka tetapi tidak mungkin menguasai syarikat asing ini. Apabila ekonomi sudah dikuasai, mereka akan cuba menguasai politik pula.

Di beberapa negara kecil di Amerika Tengah, yang ekonomi mereka bergantung hampir sepenuhnya kepada estet pisang yang dimiliki oleh pelabur asing, kepimpinan negara bergantung kepada sokongan pemilik estet besar ini. Dengan itu pelabur asing akan menentukan siapa yang menubuhkan kerajaan.

Di Malaysia kita mempunyai masalah yang rumit. Melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) kita mengagih atau cuba mengagihkan pemilikan syarikat dan aneka jenis perniagaan di antara bumiputera dengan bukan bumiputera. Dasar ini memang tidak disukai oleh free-marketeers atau peniaga pasaran bebas dari Barat. Mereka menganggap dasar ini sebagai diskriminasi terhadap mereka.

Pemberian peluang penswastaan kepada bumiputera umpamanya menghalang mereka daripada mengambil alih sepenuhnya syarikat dan khidmat yang diswastakan. Di Amerika Selatan penswastaan bermakna menjual perniagaan milik kerajaan kepada orang asing untuk mendapat wang tunai bagi membayar hutang. Tetapi di Malaysia kita tidak perlu wang tunai kerana kita tidak ada hutang yang banyak untuk dibayar. Oleh sebab ini dan sekatan-sekatan Dasar Ekonomi Baru, orang asing amat kecewa.

Kita tidak boleh meminjam dari IMF kerana syaratnya akan menghalang pencapaian DEB. Jika DEB terhalang kita akan menghadapi masalah besar, lebih besar daripada kegawatan ekonomi yang sedang kita alami. Orang Melayu dan bumiputera lain akan memberontak, merusuh jika mereka hanya dapat menjadi pekerja dalam syarikat asing.

Kita percaya tidak ada rakyat Malaysia yang sanggup menyerahkan pengurusan ekonomi negara kepada orang asing. Tetapi rupa-rupanya ada juga warga negara kita, bahkan pemimpin kita, yang melihat kegawatan ekonomi sebagai peluang mengambil alih kepimpinan kerajaan.
 
                                        
Penyangak mata wang asing bukan sahaja sengaja merosakkan ekonomi kita untuk mendapat keuntungan tetapi mereka menyalahkan kita, kerana mengikut mereka kita yang merosakkan ekonomi kita, yang menyebabkan kegawatan ekonomi. Mereka menuduh kita mengamalkan kronisme, nepotisme dan tidak telus dalam pengurusan ekonomi kita, yang menyebabkan ekonomi kita menjadi lemah dan runtuh.

Bahawa kerajaan yang sama dengan dasar serta amalan yang sama telah berjaya membangunkan ekonomi dengan begitu pesat sehingga kita dikenal sebagai 'Ekonomi Harimau' atau 'Tiger Economy' sebelum Julai 1997 dilupakan. Jika benarlah kita dan dasar serta amalan kita yang salah, kenapakah ekonomi negara kita tidak gawat lebih awal? Kenapakah ia dapat tumbuh dengan pesat?

Kenapakah pendapatan perkapita yang hanya RM750 semasa kita mencapai kemerdekaan meningkat kepada RM12,500 sebelum kita diserang oleh penyangak mata wang? Jika mereka tidak menjatuhkan nilai wang kita dan harga saham kita, apakah ekonomi kita dengan sendirinya akan merosot?

Dakwaan mereka jelas tidak munasabah. Dakwaan mereka hanyalah untuk menyembunyi peranan mereka dalam merosakkan ekonomi kita seperti yang kita dakwa awal-awal lagi. Rakyat Malaysia tentu nampak bahawa alasan kronisme, nepotisme, korupsi dan tidak telus disebut oleh mereka untuk meletakkan kesalahan kepada kita dan bukan mereka. Kita tidak menafikan bahawa gejala ini memang ada di negara kita, tetapi ia bukan sebabnya yang ekonomi kita runtuh.

Tetapi seperti yang saya sebutkan sebentar tadi, ada pemimpin daripada kalangan kita yang nampak peluang daripada kegawatan ekonomi, daripada tuduhan yang dibuat oleh penyangak asing ini. Oleh itu pemimpin ini menyuruh orang suruhannya, supaya membangkitkan soal kronisme, nepotisme, korupsi dan lain-lain.

Bekas Timbalan Perdana Menteri sendiri mengaku di Terengganu bahawa dialah yang menyuruh Ketua Pemuda UMNO menuduh secara tidak langsung pucuk pimpinan Kerajaan Malayia mengamalkan kronisme, nepotisme dan sebagainya.

Saya akui saya agak naive atau terlalu lurus kerana tidak percaya bahawa timbalan saya, orang yang saya bawa masuk ke dalam UMNO, orang yang saya beri kedudukan dalam parti dan kerajaan, orang yang saya sokong supaya mendapat jawatan-jawatan yang tinggi dalam parti dan kerajaan, akan cuba menjatuhkan saya. Tetapi sekarang saya terpaksa mempercayai inilah yang dilakukan olehnya. Dia sendiri telah mengaku.

Senjata ekonomi yang berada pada kuasa asing memang tajam dan boleh dengan sendirinya menewaskan kita dan menjadikan kita dijajah semula. Tetapi apabila orang asing disokong dan dibantu oleh orang tempatan, terutama pemimpin kerajaan sendiri, maka kemungkinan kita dijajah semula amatlah besar.

Usaha Jatuhkan Pucuk Pimpinan Parti Gagal

Kita tidak sedar bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mempunyai agendanya yang tersendiri. Sebab itu apabila dia melaksanakan apa yang dipanggil oleh media asing sebagai virtual IMF, kita tidak menyoalnya dan tidak menghalang pendekatannya.

Bekas Menteri Kewangan menaikkan faedah pinjaman, mengurangkan kredit, memendekkan tempoh dari enam bulan kepada tiga bulan untuk mengisytiharkan hutang menjadi lapuk dan menarik balik wang yang dipinjamkan kepada bank apabila Kabinet mengarah supaya rizab berkanun bank dikurangkan sebagai cara menambah wang dalam bank.

Belanjawan kerajaan pula dikurangkan sebanyak 21 peratus. Dengan ini rancangan pembangunan kerajaan terpaksa dihentikan. Kontraktor bumiputera terutamanya, dan kontraktor lain tidak lagi mendapat kontrak, bahkan kontrak yang telah diberi ditamatkan. Mereka dan pembekal mereka tidak lagi ada perniagaan dan pendapatan.

Dengan tindakan-tindakan ini kegawatan yang sudah teruk menjadi lebih teruk. Pemerhati asing meramalkan Malaysia tetap akan meminta pertolongan IMF dan menerima syarat-syarat serta pendekatannya untuk menangani kegawatan, pendekatan yang hari ini diakui oleh IMF sendiri memburukkan lagi ekonomi negara yang diserang oleh penyangak mata wang. Tetapi masih juga kita tidak menaruh syak wasangka terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri.

Harapan bekas Timbalan Perdana Menteri ialah dengan ekonomi menjadi lebih teruk dan kerajaan disalahkan oleh rakyat, terutamanya perwakilan Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1998, maka Presiden UMNO akan undur. Bukankah Presiden telah memberi pengakuan bahawa dia akan undur jika dia tidak mendapat sokongan lagi, khususnya sokongan UMNO dalam Perhimpunan Agungnya?

Malangnya bagi perancang strategi ini Perhimpunan Agung UMNO 1998 tidak menunjukkan tentangan mereka kepada Presiden. Walaupun Ketua Pemuda dengan lantangnya menuduh kerajaan mengamalkan nepotisme, kronisme dan lain-lain, perwakilan jelas ternampak memberi kepercayaan kepada Presiden. Kepercayaan ini menyebabkan Presiden tidak undur. Dengan ini percubaan untuk menjatuhkan pucuk kepimpinan UMNO supaya orang nombor dua dapat mengambil alih tempatnya gagal.

                                             
Kerajaan menumpukan segala usaha untuk menyelamatkan ekonomi. Tetapi bekas Timbalan Perdana Menteri tidak dapat menumpukan kepada usaha ini kerana buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM disebarkan. Walaupun dinasihat supaya tidak menyekat penyebaran buku ini kerana tuduhan di dalamnya dikatakan olehnya sendiri sebagai tidak berasas, bekas Timbalan Perdana Menteri masih tidak senang hati dan cuba mengenakan injunksi terhadap penyebaran buku tersebut. Akhirnya, beliau membuat aduan kepada polis dan meminta polis mengharamkan penyebaran buku tersebut.

Pihak polis tidak dapat mengharamkan penyebaran buku berkenaan sebelum kesahihan tuduhan dalam buku itu ditentukan dahulu. Dengan itu polis menyoal beberapa orang yang namanya terdapat dalam buku berkenaan. Apabila orang-orang ini disoal, maka bekas Timbalan Perdana Menteri menggelisah dan meminta supaya Menteri Dalam Negeri menyuruh polis menghentikan siasatan. Walaupun Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa tertentu, ia tidak termasuk memberhentikan siasatan ke atas sesiapa. Sebab itu ramai pemimpin UMNO, termasuk menteri dan Ketua Menteri/Menteri Besar pernah disiasat, bahkan didakwa di mahkamah dan dihukum, termasuk hukuman mati. Jika menteri atau Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk menghentikan siasatan, sudah tentu ramai penyokong dan keluarga pemimpin UMNO akan meminta supaya siasatan terhadap orang tertentu dihentikan. Tetapi di negara ini, seperti yang selalu didesak oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, kita mempunyai pentadbiran berundang atau Rule of Law. Menteri atau Perdana Menteri tidak boleh campur tangan atau menghalang siasatan yang diizinkan oleh undang-undang.

Tidak Ada Konspirasi Singkir Datuk Seri Anwar

Hasil daripada siasatan inilah bekas Timbalan Perdana Menteri dihadapkan ke mahkamah oleh pendakwa raya, bukan oleh Perdana Menteri. Sebelum dari itu kepimpinan kanan UMNO dan Majlis Tertinggi mendapati ada alasan yang kukuh bagi menyingkirkan Datuk Seri Anwar dari jawatan Timbalan Presiden dan keahlian dalam UMNO. Perkara ini amat serius dan Majlis mendengar pembelaan diri Datuk Seri Anwar dan membahas dengan mendalam di hadapannya sebelum memutuskan untuk melucutkan jawatan dan menyingkirnya daripada parti.

Apabila disingkir maka Datuk Seri Anwar mula menggugat kestabilan negara. Harapannya ialah supaya Kerajaan Malaysia dijatuhkan sepertimana kerajaan di negara lain dijatuhkan. Rakyat dihasut supaya mengadakan demonstrasi dan rusuhan di jalan-jalan raya.

                                                      
Usaha ini jelas disokong oleh media dan orang asing termasuk pemimpin negara tertentu yang membuat ucapan di negara kita supaya rakyat merusuh untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokratik.

Bakal penjajah dan boneka mereka di Malaysia masih berusaha untuk melemahkan negara ini. Benteng yang mempertahankan kedaulatan negara ialah UMNO. Jika Malaysia hendak dijajah semula, penjajah mesti langkah mayat UMNO dahulu.

Malangnya apa yang tidak dapat dinafikan ialah tuduhan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri sukar dipercayai. Bolehkah seorang yang ternampak begitu warak, yang boleh menjadi imam dan pandai berkhutbah, bolehkah ia melakukan perbuatan yang begitu buruk seperti yang didakwa di mahkamah? Tidak mungkinkah semua tuduhan dan tindakan polis didorong oleh komplot Perdana Menteri yang tidak ingin Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri?

Kekeliruan dan kurang kepercayaan kepada dakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri mudah difaham kerana apabila laporan berkenaan tingkah-laku bekas Timbalan Perdana Menteri dibuat kepada saya pada tahun 1993, saya juga tidak percaya. Apabila Ummi Hafilda dan Azizan menulis kepada saya menuduh Timbalan Perdana Menteri melakukan perbuatan luar tabii, saya masih tidak percaya. Saya berasa lega apabila polis memberitahu saya yang Ummi Hafilda dan Azizan sudah menarik balik tuduhan mereka. Apabila ditanya oleh pemberita saya telah berkata tuduhan itu berniat jahat dan bertujuan untuk menyekat Datuk Seri Anwar daripada menjadi Perdana Menteri menggantikan saya. Ahli-ahli Majlis Tertinggi boleh mengesahkan yang saya terus menyokong Timbalan Presiden sebagai pengganti saya. Saya dapati amat sukar untuk mempercayai yang timbalan saya, rakan dan kawan saya boleh terlibat dengan apa yang dituduh ia melakukannya.

Saya cuma mempercayai akan kebenaran tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar apabila polis, selepas siasatan awal terhadap buku 50 Dalil susulan kepada laporan yang dibuat oleh beliau sendiri, melaporkan kepada saya bahawa ada kebenaran dalam tuduhan buku itu. Polis memberi keterangan yang jelas. Saya tidak boleh menolak lagi tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar. Tetapi untuk lebih menyakinkan diri saya bahawa tidak ada niat tidak baik oleh sesiapa terhadap Datuk Seri Anwar, saya sendiri memanggil beberapa orang yang disebut dalam laporan polis untuk saya soal sendiri. Selepas itu saya tidak lagi dapat menafikan kebenaran tuduhan yang dibuat terhadap Datuk Seri Anwar.

Jika saya yang mendapat bukti dan penjelasan dari polis dahulu berasa ragu akan kebenaran tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar, apatah lagi orang-orang yang hanya mendengar berita daripada akhbar atau penjelasan daripada orang lain. Apatah lagi apabila Datuk Seri Anwar membalas tuduhan dengan mendakwa semuanya adalah konspirasi politik untuk menghalang pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

Tuduhan bahawa saya mengadakan konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar adalah tidak munasabah. Saya tidak pernah berkonspirasi terhadap sesiapa termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri yang lain, Tengku Razaleigh dan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang tersingkir atau digugur dahulu. Sebaliknya saya yang menjadi mangsa pakatan untuk menjatuhkan saya.

                                           
Berkonspirasi seperti yang dituduh saya telah lakukan bukanlah sesuatu yang mudah dibuat dan dirahsiakan. Ini adalah kerana begitu ramai yang perlu terlibat. Saya perlu mendapat kerjasama daripada ramai pegawai polis, pegawai pendakwa raya termasuk pendakwa raya sendiri, ramai hakim, ramai lelaki dan perempuan yang menjadi mangsa Datuk Seri Anwar, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, semua ahli Majlis Tertinggi dan ramai orang lain yang perlu tahu jika konspirasi yang saya dituduh hendak dijayakan. Mustahil konspirasi ini tidak sampai ke pengetahuan umum berbulan-bulan sebelum Datuk Seri Anwar disingkir. Di Malaysia di mana rahsia sukar disimpan, di mana surat-surat layang dan Internet bermaharajalela, menyembunyi komplot yang melibatkan berpuluh orang yang terdiri daripada pemandu kereta, perempuan-perempuan tertentu sehingga kepada pegawai-pegawai tinggi dalam polis, jabatan pendakwa raya dan kehakiman, adalah mustahil. Konspirasi yang besar seperti ini tentu akan terbongkar dan tersebar luas berbulan-bulan sebelum apa-apa berlaku, kerana konspirasi mengambil masa yang panjang untuk dirancang, diatur dan untuk mendapat kerjasama ramai yang perlu terlibat. Konspirasi tidak boleh diadakan dengan serta-merta.

Tetapi tidak ada sesiapa yang mencerita, tidak ada surat layang yang membongkar komplot ini. Sehingga hari Datuk Seri Anwar disingkir tiada ada apa-apa berita tentang Perdana Menteri dan Presiden UMNO sedang berusaha untuk menghalang Datuk Seri Anwar daripada menjadi Perdana Menteri. Sebaliknya umum tahu bahawa Datuk Seri Anwar telah dinamakan oleh saya sebagai pengganti saya hampir ke saat terakhir. Demikianlah kepercayaan bahawa Datuk Seri Anwar akan mengganti saya sehingga ramai daripada pegawai, Menteri Besar dan pemimpin parti di pelbagai peringkat yang tidak berani menyoal apa-apa perbuatan atau arahan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar. Mereka semuanya takut mereka akan menjadi mangsa apabila Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri.

Dalam kegawatan pemikiran yang terdapat di kalangan sebilangan daripada ahli UMNO dan penyokong Datuk Seri Anwar, parti-parti lawan tentulah mengambil kesempatan untuk melemahkan UMNO. Bagi mereka yang diutamakan bukan bangsa, bukan negara, bukan agama. Keutamaan mereka hanyalah kepentingan politik mereka. Melihat Datuk Seri Anwar disingkir maka parti lawan tiba-tiba menunjukkan simpati kepadanya seolah-olah mereka ingin melihat Datuk Seri Anwar terus menjadi ahli UMNO, Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Jika mereka tidak suka Datuk Seri Anwar disingkir, kenapakah dahulu semasa dia menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri mereka tidak menyokongnya?

Pakatan Antara Parti Lawan Tak Kekal

Sebenarnya parti lawan sedang sibuk menangguk di air yang keruh. Bukan penyingkiran Datuk Seri Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, bukan tuduhan terhadapnya dan dakwaan terhadapnya di hadapan mahkamah, bukan juga kerana dia dipenjarakan yang menyedihkan mereka. Yang utama bagi mereka ialah peluang mengguna nasib buruk Datuk Seri Anwar dan keluarganya serta tenaga penyokong-penyokongnya untuk menguatkan parti mereka dan melemahkan UMNO. Dengan itu mereka pura-pura menyatakan sokongan mereka kepada Datuk Seri Anwar. Datuk Seri Anwar yang sekarang bersekongkol dengan parti lawan juga sama. Dia menyertai mereka hanya kerana kepentingan dirinya.

Pakatan antara Pas, DAP dan serpihan kecil daripada UMNO ini hanyalah kerana kepentingan diri masing-masing. Tidak ada persamaan perjuangan atau matlamat dalam pakatan ini selain daripada kepentingan diri. Masing-masing berhasrat menipu pihak lain. Masing-masing akan meninggalkan rakan apabila sahaja mendapat sedikit keuntungan dalam pilihan raya.

Pas kononnya berjuang untuk agama Islam, untuk mendirikan negara Islam. DAP pula berjuang untuk 'Malaysian Malaysia' yang kononnya tidak akan menafikan keistimewaan kedudukan orang Melayu dan bumiputera. Tetapi penjelasan ini dibuat hanyalah apabila 'Malaysian Malaysia' dikecam oleh orang Melayu dan UMNO. Apakah mungkin negara Islam Pas juga 'Malaysian Malaysia' DAP?

Parti Keadilan pula ditubuh dan berjuang semata-mata untuk membebaskan Datuk Seri Anwar. Parti ini menyokong semua dasar, semua perjuangan termasuk perjuangan aneka jenis pertubuhan bukan kerajaan atau NGO asalkan dapat menambah sokongan dan melemahkan UMNO dan Barisan Nasional. Keadilan bagi parti ini hanya satu sahaja, iaitu pembebasan Datuk Seri Anwar. Jika lain-lain ketidakadilan berlaku ini tidak mengapa. Sebab itu semasa Datuk Seri Anwar berada dalam UMNO dan kerajaan tidak ada desakan daripadanya untuk menghapuskan ketidakadilan yang kononnya terdapat di negara ini. Tidak ada perjuangan besar-besaran menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA umpamanya. Sebaliknya kuasa agensi tertentu dalam kerajaan sanggup diperalatkan oleh pengasas Keadilan untuk melakukan ketidakadilan kepada orang yang mendedah penyelewengannya.

Pas adalah sebuah parti yang mudah menukar haluan mengikut kepentingan semasa. Demikian pada mulanya Pas mendakwa bahawa orang Islam yang bekerjasama dengan orang bukan Islam menjadi kafir dan dengan itu Pas menolak kerjasama dengan bukan Islam. Kemudian Pas menyertai Barisan Nasional dan bekerjasama dengan orang bukan Islam dalam Barisan Nasional. Pada masa itu Pas tidak lagi mendakwa bahawa orang Islam yang bekerjasama dengan bukan Islam menjadi kafir. Ternampak jelas tafsiran agama oleh Pas boleh ditukar untuk kepentingan semasa.

Kemudian Pas keluar daripada Barisan Nasional dan menganggap orang UMNO tidak Islam sehingga ahli dan pemimpin Pas sanggup sembahyang berasingan di masjid yang sama dan membina masjid lain bagi orang Pas. Tetapi apabila pilihan raya hampir tiba, Pas mengadakan pakatan dengan DAP yang bukan Islam. Bagi Pas orang UMNO yang Islam tidak boleh dijadikan sahabat seperti Pas bersahabat dengan orang bukan Islam dalam DAP.

Hasrat Pas bekerjasama dengan DAP adalah semata-mata kerana ingin menewaskan UMNO. Bagi Pas bekerjasama dengan DAP yang menentang hasrat Pas mendirikan apa yang didakwa sebagai Negara Islam tidak mengapa asalkan orang DAP memberi undi kepada mereka.

Sekarang Pas sanggup menerima orang bukan Islam sebagai ahli Pas. Apakah pula hukum ciptaan Pas berkenaan perkara ini? Tetapi Pas juga sanggup bekerjasama dengan syaitan dan tidaklah hairan jika Pas bekerjasama dengan DAP dan siapa sahaja demi politik Pas.

Hari ini kita lihat kesan daripada kesanggupan Pas bekerjasama dengan syaitan. Nik Aziz dan pemimpin Pas yang lain sanggup mengeluarkan kata-kata yang buruk kononnya Badawi Malaysia menjadi gembala babi. Sindiran ini tidak mempunyai asas kerana Datuk Abdullah Badawi telah ditugaskan untuk menyelaraskan kerja-kerja menghapuskan penyakit Japanese Encephalitis (JE), bukan untuk menjaga babi. Lebih dari itu dakwaan dibuat kononnya Tuhan mencarut dan kita orang Islam patut mencarut.

Di sini izinkan saya mengulas sedikit buku Shit tulisan Shahnon Ahmad. Oleh kerana saya takut emosi menguasai saya, saya catatkan pandangan saya terhadap buku ini.

Saya tidak tahu kenapa Shahnon Ahmad begitu marah dan benci kepada saya. Saya tidak pernah mengkritik Shahnon, jauh sekali memakinya. Saya berjumpa dengannya sekali sahaja di Australia. Semasa saya jadi Perdana Menteri beliau dapat jawatan yang tinggi, dapat jadi profesor dengan gaji besar, dapat anugerah Sasterawan Negara. Tidak pernah saya menghalang kemajuan beliau.

Buku-bukunya yang lepas dapat menjadi buku teks yang sudah tentu memberi keuntungan yang besar kepadanya. Cerpen Piem dalam Dewan Sastera (1993) yang menghentam saya pun tidak menarik teguran atau kritikan atau kemarahan oleh saya.

Tetapi Shahnon tergamak memaki saya, mencarut sehingga kepada emak saya. Bangsa kita pantang ibu bapa dihina. Apakah Shahnon sudah menjadi orang Barat yang tidak beradat, yang tidak dapat membuka mulut tanpa memaki dan mencarut?

Buku penulis Barat penuh dengan perkataan yang kita malu menyuarakannya di hadapan khalayak ramai. Bagi orang yang menganggap meliwat sebagai hak asasi, kegunaan perkataan- perkataan ini memang sesuai. Tetapi apakah kita harus meniru mereka? Apakah Shahnon memandang rendah budaya bangsa Melayu?

Amat malang sekali apabila Nik Aziz pula menghalalkan carutan Shahnon terhadap saya dan emak saya. Menghalalkan apa yang dikatakan oleh Shahnon samalah dengan mempersetujui dengan apa yang dikatakan oleh Shahnon. Apakah pernah sesiapa mendengar saya mengeluarkan perkataan yang seumpama itu kepada Nik Aziz?

Saya tidak pun tergamak untuk menyebut perkataan mencarut yang digunakan oleh Shahnon. Oleh itu, saya telah meminta Pejabat Setiausaha Agung UMNO membekalkan sedutan daripada buku Shit Shahnon.

Bacalah! Apakah yang telah saya buat kepada Nik Aziz sehingga Mursyidul Am Pas ini sanggup mengizinkan perkataan mencarut yang terdapat dalam buku itu.

Dalam usahanya untuk mempertahankan seorang ahli seumur hidup Pas, Nik Aziz tergamak menghina Tuhan dengan berkata Tuhan mencarut, iaitu mengeluarkan kata-kata seperti yang digunakan oleh Shahnon kepada saya. Buktilah di mana dalam al-Quran dan kitab-kitab lain yang diterima bahawa Tuhan menggunakan perkataan tersebut?

Saya tahu politik memang kotor tetapi saya tidak menyangka yang ia boleh menjadi begitu kotor. Dan kekotoran ini menjadi lebih kotor kerana ia datang daripada sebuah parti yang mengaitkan dirinya dengan agama Islam.

Demikian apabila sudah sanggup bekerjasama dengan syaitan maka awal-awal lagi syaitan sudah merasuk Pas dan pemimpin Pas sehingga sanggup bukan sahaja mencarut menghina saya dan ibu saya tetapi juga menghina Tuhan.

Tetapi orang Pas akan terus setia kepada Pas kerana mereka fanatik dan taksub kepada parti mereka. Mereka adalah daripada kumpulan Asabiyah, kumpulan yang terlalu fanatik dalam menyokong kumpulan mereka sehingga tidak mengambil kira kumpulan mereka baik atau jahat, benar atau salah. Demikian apabila ahli Pas berkhalwat, mereka tidak bersalah. Kesalahan hanya ada pada orang lain, tidak sama sekali kepada orang Pas dan parti Pas. Inilah orang yang keterlaluan dan termasuk dalam golongan Assabiyyah.

Usaha Pihak Asing Hancurkan UMNO

Melihat parti-parti lawan dan pakatan mereka begitu ghairah dengan kemungkinan mereka akan dapat melemahkan UMNO, Barisan Nasional dan Kerajaan Malaysia, maka kuasa asing pun amat gembira. Maka mereka pun menyokong dan membantu pakatan pembangkang dan parti-parti yang menyertainya. Bahawa mereka tidak sedikit pun berminat dengan Islam, tidak menghalang mereka daripada memuji dan mendokong parti Pas yang dikatakan Islam ini. Mungkin mereka juga tahu bahawa sebenarnya Pas tidak seIslam seperti yang didakwa olehnya.

Yang penting bagi orang asing ini ialah melemahkan UMNO. Batu penghalang bagi mereka ialah UMNO. Kekuatan Kerajaan Malaysia dan dengan itu ketegasan Malaysia ialah kerana UMNO menerajui Kerajaan Malaysia dengan kekuatan yang berjaya mendapat kesetiaan parti-parti lain sebagai komponen Barisan Nasional. Mereka tahu tanpa UMNO yang kuat Barisan Nasional tidak mungkin stabil dan kuat. Justeru mereka akan sokong apa juga tindakan oleh sesiapa, dan mereka akan berusaha sendiri untuk melemah atau memecahkan UMNO.

Rancangan mereka untuk menaikkan boneka mereka sebagai pemimpin UMNO dan Perdana Menteri telah gagal. Sekarang mereka tidak lagi dapat menguasai negara kita melalui boneka mereka. Sekarang hanya kehancuran UMNO yang akan memenuhi hasrat mereka.

Pengkritik asing mendakwa saya menuduh orang asing dengan bermacam-macam tuduhan kerana ingin melindungi masalah yang saya hadapi dalam negara. Tetapi apakah tuduhan saya tidak berasas? Apakah tidak benar yang media asing sengaja memburukkan imej kita? Tidak ada laporan yang baik berkenaan Malaysia. Walaupun negara berbilang kaum ini aman, stabil, maju dengan lebih pesat daripada negara membangun yang lain; walaupun DEB berjaya mengagihkan kekayaan antara kaum tanpa menjejaskan ekonomi negara, tanpa merampas hak sesiapa; walaupun kegawatan ekonomi tidak menyebabkan rusuhan kaum berlaku; walaupun kita berjaya menswastakan syarikat dan agensi kerajaan, tidak ada sekalipun kejayaan-kejayaan ini diiktiraf, jauh sekali diberi komen yang positif.

Bahawa serangan ke atas mata wang dan pasaran saham kita tidak kekal merosakkan ekonomi kita; bahawa kita berjaya mengurus kewangan kita sehingga kita bebas daripada berhutang dari luar negera; bahawa kita dapat memulihkan ekonomi kita dengan cara kita sendiri juga tidak diakui.

Sebaliknya mereka cuba menghalang pemulihan ekonomi kita, menurunkan penarafan atau rating kita supaya kita tidak dapat berhutang. Mereka juga cuba menggugat kestabilan politik kita dengan sengaja menggalakkan perusuh merusuh dan menjatuhkan kerajaan dengan keganasan.

Mereka menuduh Perdana Menteri Malaysia menerima 50,000 dolar Amerika supaya memberi kontrak beratus juta kepada syarikat mereka dan media mereka melaporkan kononnya antara diktator yang membantu Nelson Mandela dengan ratusan juta dolar ialah Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia. Kita sokong Mandela tetapi kita tidak memberi wang. Saya digelar diktator hanya kerana saya tidak tunduk kepada mereka. Diktator yang sebenar disokong oleh mereka jika dia mengikut telunjuk mereka atau membeli senjata daripada mereka.

                                          
Apakah penyangak mata wang dan penjualan singkat saham yang hampir membankrapkan semua bank, syarikat dan negara kita tidak terdiri daripada orang mereka? Apakah rating agensi yang menjatuhkan rating kredit kita sehingga kita tidak dapat berhutang tidak terdiri daripada orang mereka? Apakah kecaman terhadap usaha kita memulihkan ekonomi negara kita tidak dibuat oleh mereka? Apakah media yang memburuk-burukkan imej kita, mencaci kita tidak dimiliki oleh orang asing dari Barat yang saya kecam?

Senarai tindakan buruk ke atas kita oleh etnik Eropah begitu panjang sehingga saya tidak dapat menyebut semuanya. Tuduhan yang saya buat terhadap mereka bukan untuk menutup masalah dalam negara, tetapi adalah kerana mereka memang mengancam dan memburukkan ekonomi dan imej negara kita. Kita tidak lemah, kita tidak buruk. Kita sebenarnya lebih kuat dan lebih berjaya daripada kebanyakan negara asing. Saya tidak perlu mengalih pandangan rakyat kepada tindak-tanduk orang asing kerana masalah dalaman.

Kadang-kadang terlintas juga dalam hati bahawa kebencian orang asing dan media mereka terhadap Malaysia ialah kerana Malaysia adalah sebuah negara yang secara kebetulan diperintah oleh sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam. Yang lebih menimbulkan kebencian mereka ialah parti orang Islam ini berwibawa, berdisiplin, tersusun rapi, dapat mentadbir dan membangunkan negara. Ramai daripada mereka beranggapan bahawa orang Islam tidak mungkin berjaya lebih-lebih lagi jika mereka berkulit sawo matang. Sudah tentu mereka tidak boleh mentadbirkan negara sehingga pesat membangun dan moden. Mereka lebih senang jika parti Pas memerintah kerana mereka percaya Pas tidak mungkin mendirikan kerajaan yang berwibawa dan berjaya. Mereka berpendapat Pas akan menimbulkan sengketa sesama orang Islam sehingga melemahkan mereka dan memesongkan orang Islam di Malaysia daripada pengamalan ajaran Islam yang sebenar yang mereka tahu akan membawa kejayaan. Mereka tahu jika Pas memerintah tidak mungkin tumpuan diberi secara berkesan kepada pembangunan dan ketahanan negara. Sebaliknya Pas akan menumpu kepada polemik Islam yang tidak pernah habis. Sebab itu, walaupun mereka tidak gemar dengan orang Islam dan agama mereka, mereka ternampak sanggup menyokong Pas dan sebaliknya mencuba melemah dan menghancurkan UMNO.

                                            

UMNO Tentukan Kerajaan Berwibawa

Oleh kerana memang pun benar usaha sedang dibuat oleh pihak kuasa asing untuk melemah, jika tidak pun menghancurkan UMNO, dan mereka disokong dan dibantu pula oleh orang tertentu dan parti-parti pembangkang yang lebih mengutamakan kepentingan diri mereka daripada kepentingan negara, maka UMNO dan orang Melayu yang berjiwa Melayu tidak harus membenarkan diri diperangkap oleh mereka ini; tidak harus membenarkan diri dipengaruhi oleh perasaan marah dan benci yang tidak berasas sehingga UMNO pecah, menjadi lemah dan tidak lagi dapat melindungi kedaulatan negara ini, hak orang Melayu dan bumiputera lain dan agama Islam. Percayalah, tanpa UMNO yang kuat, tidak akan ada Kerajaan Malaysia yang berwibawa. Tidak ada sama sekali kemungkinan parti-parti lain, sama ada bergabung atau tidak yang boleh mendirikan kerajaan yang berwibawa, yang mampu memelihara kedaulatan negara ini.

Tanpa UMNO negara ini akan didominasi, dikuasai oleh negara asing dan dengan itu peluang untuk memulih orang Melayu dan menjadikan mereka bangsa yang berjaya, bermaruah dan dihormati, akan hilang. Empat ratus tahun kita menunggu untuk mendapat balik kuasa dan peluang untuk membela nasib kita, memajukan diri kita sehingga setaraf dengan bangsa-bangsa maju di dunia. Sekarang kita sudah dapat peluang ini dan janganlah kita mensia-siakan peluang ini kerana dakwaan seorang yang kecewa, seorang yang tidak bermoral kononnya dia dianiayakan.

Dalam ucapan-ucapan saya yang lepas, saya telah mengelak daripada mengguna perkataan 'saya'. Ini adalah kerana segala usaha memajukan negara bukanlah dibuat oleh saya seorang, tetapi oleh kita semua; ahli UMNO, pentadbir dan pedagang dan semua rakyat. Saya tidak berhak menonjolkan diri saya, kerana saya hanyalah alat bangsa, agama dan negara. Pemimpin hanya diperlukan untuk menggembleng segala tenaga rakyat pelbagai lapisan supaya mereka bertindak secara tersusun ke arah satu matlamat yang dikenal pasti.

Usaha Tanam Kebencian Terhadap Presiden

Jika dalam ucapan ini saya menggunakan perkataan 'saya', sebabnya bukan saya sudah tukar tabiat atau ingin menarik perhatian kepada diri saya atau untuk membela diri saya. Sebabnya ialah oleh kerana musuh kita, dari dalam dan luar negera, sedang menggunakan saya sebagai satu belantan untuk membelasah dan menghancurkan UMNO dan sekali gus peranan politik orang Melayu dalam mempertahankan kedaulatan negara.

                                             
Usaha berterusan sedang dibuat secara bersungguh-sungguh untuk menebal kebencian kepada diri saya supaya kebencian ini akan menyebabkan orang Melayu menolak UMNO. Mereka percaya walaupun yang akan terhasut oleh mereka hanyalah sebilangan kecil daripada orang Melayu yang menyokong UMNO, tetapi ia mungkin dapat melemah dan menjejaskan perjuangan UMNO dan mengurangkan majoriti dua pertiga bagi Barisan Nasional yang mana ini adalah penting bagi kestabilan negara dan kemajuannya. Sebab itulah kali ini saya banyak menyebut 'saya' kerana terdapat keperluan untuk menjelas akan apa yang sebenarnya dilakukan oleh saya, kerana kredibiliti saya telah dijadikan satu isu pada masa ini.

Saya masih ingat dalam Mesyuarat Agung UMNO yang terdahulu bagaimana tiap jurucakap memuji saya. Walaupun sebagai manusia biasa saya gemar dipuji, tetapi saya meminta supaya saya tidak dipuji, supaya segala pujian diberikan kepada Allah s.w.t., kepada kerajaan dan kepada UMNO. Saya amat takut kalau sudah suka dipuji saya akan percaya yang saya akan disukai ramai, popular selama-lamanya, sedangkan saya tahu memang tabii manusia mudah jemu.

Dalam sekelip mata sokongan boleh bertukar menjadi tentangan. Apabila ini berlaku saya mungkin terlalu kecewa sehingga tidak tahu bagaimana menangan masalah.

Dengan hasutan daripada pihak tertentu proses membenci ini sedang ditingkatkan. Saya telah pun berkata bahawa saya akan undur diri jika saya sudah tidak disukai lagi. Tetapi saya juga tidak boleh kecil hati dan merajuk sehingga mengabaikan tanggungjawab saya kepada UMNO, bangsa, agama dan negara, tanggungjawab yang saya janji dan bersumpah saya akan pikul.

Sebab itu saya berasa penting untuk menjelaskan akan kebenaran segala-gala yang saya perkatakan berkenaan bekas timbalan saya.

                                              
Tidak ada sebab yang saya harus sengaja menimbulkan kebencian kepada diri saya di waktu yang lewat ini dengan melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan hati penyokong bekas timbalan saya. Saya tidak suka mencari musuh kerana dalam politik musuh tetap membawa masalah.

Jika saya ingin menyingkirkan bekas timbalan saya, saya tidak akan memilih alasan yang sukar dijelas dan dipertahankan.

Saya tidak pun tergamak menyebut apa yang dilakukan olehnya kerana budaya kita menegah kita daripada menyebut perkataan itu di khalayak ramai. Lebih mudah lagi jika saya tuduh beliau cuba mengguling saya.

Ahli UMNO, bahkan orang Melayu, lebih mudah menerima alasan yang beliau tidak berterima kasih dan tidak berasa terhutang budi kepada orang yang berbakti kepadanya sebagai sebab beliau disingkir. Tetapi saya tidak dapat mengguna alasan lain kerana saya tidak berniat untuk menyingkirnya. Penyingkirannya disebabkan oleh perbuatannya yang sebenar.

                                        

Saya tidak menganiayakannya, saya tidak berkonspirasi untuk menyekatnya daripada menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Moralnya dan kelakuannya yang menyekatnya daripada menjadi Presiden UMNO, bahkan daripada menjadi ahli UMNO.

Walaupun pada ketika itu beliau rakan dan kawan saya, tetapi kepentingan bangsa dan negara tidak mengizinkan saya menutup mata dan membiarkan sesuatu yang begitu buruk menimpa bangsa dan negara. Jika saya membiarkan ia berlaku maka saya mengkhianati bangsa, agama dan negara saya.

Dan ini, saya tidak sanggup lakukan walaupun untuk seorang sahabat, seorang rakan seperjuangan. Biarlah saya dikutuk, dimaki-hamun, diselar dan dicerca asalkan saya tahu dalam hati saya, dan Tuhan Yang Maha Kuasa mengetahui bahawa saya tidak mengkhianati agama, bangsa dan negara yang saya telah bersumpah untuk mempertahan dan melindunginya.

Nasib yang menimpa Datuk Seri Anwar memang malang, memang menyedihkan. Tetapi dalam sejarah UMNO nasib yang sama telah menimpa beberapa pemimpin tinggi UMNO. Ada yang disingkir dari parti dan ini termasuk saya sendiri; ada yang dipenjara, bahkan ada yang dihukum bunuh.

Mereka dan keluarga mereka, anak isteri, merasai tekanan jiwa dan kesedihan yang tidak kurang daripada yang dirasai oleh Datuk Seri Anwar dan keluarganya. Tetapi mereka menerima nasib mereka walaupun mereka tetap menyangkal yang mereka bersalah.

Mereka tidak menuduh sesiapa berkonspirasi untuk menjatuhkan mereka. Mereka tidak keluar dari parti, tidak mengecam parti, dan tidak mengadakan pakatan untuk menghancurkan parti dan memburukkan negara.

                                                  

Malang sekali, selepas sahaja beliau disingkir, Datuk Seri Anwar melemparkan bermacam-macam tuduhan terhadap kerajaan, parti UMNO dan pemimpin tertentu UMNO. Beliau telah menghasut orang Melayu supaya membenci UMNO dan pemimpinnya dan merusuh dan mengganas di jalan di Kuala Lumpur.

Beliau memburukkan negara, kerajaan dan UMNO di merata dunia, mengguna orang asing dan media asing untuk menyokong tindakan pengikutnya dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan negara kita, negaranya sendiri.

Ini adalah satu penderhakaan yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin UMNO yang terdahulu, walau apa pun kekecewaan mereka.

                                        
Dengan perbuatan ini maka tindakan menyingkirnya menjadi lebih tepat. Amatlah tidak sesuai seorang yang begitu tidak setia kepada negara menjadi pemimpin negara ini. Jika dahulu saya berasa tindakan terhadapnya adalah terlalu keras, hari ini saya berpendapat tindakan yang diambil terhadap kesalahannya memang wajar.

Apa yang menimpanya adalah disebabkan oleh apa yang telah dilakukan olehnya dan apa yang dilakukan olehnya adalah kerana beliau sanggup mengguna topeng agama semasa melakukan perbuatan yang amat bertentangan dengan agama dan tatasusila kaum bangsanya.

Kerajaan BN mampu bangunkan negara

Malaysia sudah diperintah oleh rakyat Malaysia selama 42 tahun. Dalam masa itu Malaysia membangun dengan pesat dan menjadi negara yang termaju sekali antara negara membangun di dunia.

Dari negara yang tidak dikenali oleh orang asing sehingga mereka tidak tahu di mana Malaysia, kita telah menjadi negara yang terkenal, yang sokongan dan bantuannya dalam pengurusan hal ehwal dunia dicari dan dipohon.

Malaysia sudah menjadi contoh kepada negara membangun yang lain. Ramai pemimpin negara membangun dan negara maju melawat Malaysia untuk melihat kemajuannya. Pelatih dalam pelbagai bidang dihantar ke Malaysia untuk dilatih dalam aneka bidang, daripada cara pentadbiran sehinggalah ke teknologi yang canggih.

Negara Islam juga kagum dengan kemajuan pembangunan dan kestabilan Malaysia dan mereka sering menyebut Malaysia sebagai negara Islam yang mereka ingin contohi. Banyak kemajuan dalam melaksanakan hukum Islam berkenaan pentabdiran dan pengurusan ekonomi di zaman moden yang didominasi oleh sistem Barat diterokai dan dimajukan oleh Malaysia. Sistem bank Islam, insurans Islam dan pajak gadai Islam dicipta oleh Malaysia dan berjaya bersaing dengan sistem Barat.

Demikianlah kemajuan sistem Islam yang dibentuk oleh Malaysia sehingga banyak negara Islam lain meniru sistem kita ini. Orang bukan Islam juga menerima sistem bank, insurans dan pajak gadai Islam ciptaan Malaysia.
                                 
                                         

Projek di Malaysia, sama ada oleh swasta atau kerajaan memang besar. Sebabnya ialah kerana skala ekonomi atau economies of scale iaitu kos menurun bagi tiap unit apabila banyak unit dibina atau dikeluarkan. Selain daripada itu projek besar menjana keuntungan yang juga besar.

Keuntungan yang besar menambah hasil kerajaan di samping menambah modal untuk pelaburan untuk projek lain. Dan pelaburan menyumbang kepada kekayaan negara.

Jika hanya sebuah rumah kediaman dibangunkan di tempat terpencil, bukan sahaja kosnya tinggi tetapi ia tidak menjadi pemangkin atau catalyst untuk pertumbuhan di sekeliling dan tidak menjana aktiviti ekonomi sampingan.

Aktiviti ekonomi sampingan ini penting kerana ia menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Demikian apabila kerajaan membina Petaling Jaya sebagai dormitory atau tempat tinggal mereka yang bekerja di Kuala Lumpur, ia tumbuh menjadi suatu bandar yang lengkap, dibekal dengan pusat bandar, hospital, sekolah, pejabat kerajaan dan swasta, hotel dan segala kemudahan seperti elektrik, air, jalan dan infrastruktur lain.

Nilai Petaling Jaya sekarang adalah berbilion Ringgit dan ia menyumbang dengan banyaknya kepada pertumbuhan ekonomi negara. Demikian juga dengan Shah Alam dan berpuluh bandar lain yang didirikan oleh swasta.

Demikian juga dengan projek infrastruktur besar yang lain seperti KLIA, lebuh raya, empangan, pelabuhan, kereta api elektrik, LRT dan lain-lain.

Pulau Lumut yang dahulu tidak mempunyai penduduk atau kegiatan ekonomi dan tidak menyumbang kepada ekonomi negara, sekarang menjadi Pulau Indah, sebuah growth centre atau pusat pertumbuhan yang bernilai berbilion Ringgit.

Pembangunan Langkawi dengan dibantu oleh lapangan terbang antarabangsa meningkatkan pendapatan penduduk pulau lagenda itu. Jika dahulu mereka berumah papan buruk, berbumbung atap nipah, hari ini rumah mereka rumah batu berbumbung genting.

                                    
Projek besar-besaran biasanya menolong menambahkan pendapatan rakyat disusuli dengan permintaan yang tinggi untuk infrastruktur seperti bekalan elektrik dan air serta lain-lain. Untuk memenuhi permintaan ini bekalan tambahan perlu dibuat dan ini pula menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Projek besar-besaran di Malaysia memang menolong pembangunan negara dan pembangunan pesat negara ini memerlukan projek yang besar. Projek besar bukan pembaziran. Ia adalah penting dalam menjaya dan mempercepatkan proses pembangunan negara. Projek kecil seperti juga dengan orang yang miskin tidak dapat menyumbang apa-apa.

Pembangunan Kuala Lumpur memang pantas dan berkembang dengan meluas. Penduduk Kuala Lumpur bertambah daripada 300,000 orang di waktu kemerdekaan dicapai kepada dua juta orang sekarang. Demikianlah pesat dan padatnya pembangunan Kuala Lumpur sehingga jalannya penuh sesak dengan kereta dan traffic jam kerap berlaku.

Kita telah mengambil tindakan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi perjalanan di Kuala Lumpur tetap memakan banyak masa. Oleh itu, kerajaan memutus untuk mendirikan pusat pentadbiran kerajaan yang baru di Putrajaya.

Apakah Putrajaya satu pembaziran? Ia sebenarnya menolong menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan akhirnya ia akan memberi keuntungan besar kepada kerajaan seperti juga projek pembangunan lain yang besar yang diusahakan oleh swasta.

Hartanah kerajaan di Kuala Lumpur sudah bernilai terlalu tinggi dan tidak memberi pulangan apa-apa kepada kerajaan. Penjualan hartanah ini akan dapat membiayai kos pembangunan Putrajaya.

Peningkatan nilai tanah yang dimiliki oleh kerajaan di Putrajaya, satu pusat pertumbuhan yang berpotensi akan membantu membiayai kos Putrajaya dan akan memberi keuntungan kepada kerajaan apabila dimajukan kemudian.

Sebagai projek besar, Putrajaya akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan negara. Jauh daripada menjadi pembaziran, Putrajaya adalah aset yang besar untuk negara.

Putrajaya bukan sahaja untuk hari ini. Ia adalah untuk masa depan negara, untuk Wawasan 2020 dan untuk generasi akan datang, untuk sebuah negara yang sudah dewasa dan menjadi negara yang sudah maju.

Banyak negara di dunia ingin mengadakan pusat pentadbiran baru yang lebih selesa dan canggih daripada pusat pentadbiran mereka yang sedia ada, tetapi mereka tidak dapat mengadakannya kerana pelbagai sebab.

Sebaliknya dalam hanya tiga tahun kita berjaya mendirikan pusat pentadbiran yang canggih, yang sesuai untuk zaman teknologi moden, yang akan diwarisi oleh semua rakyat.

Orang asing sebenarnya iri hati kerana kita dapat membangunkan Putrajaya dengan pembiayaan oleh kita sendiri, dengan pelan pembangunan oleh kita, dengan diurus dan dibina oleh kita sendiri. Di sini saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dengan pembangunan Putrajaya, terutama para jurutera dan profesional wanita yang memain peranan besar dalam projek ini. Saya kagum kerana mereka membuktikan kebolehan wanita profesional Melayu.

Kita tidak perlu berhutang dari luar negeri dan mendapat pakar asing seperti yang dibuat oleh kebanyakan negara membangun yang lain. Kita bernasib baik kerana kita bangunkan Putrajaya di waktu Ringgit kita bernilai tinggi, iaitu RM2.50 bagi satu Dolar Amerika. Ini menjimatkan kos. Sebanyak 90 peratus daripada bahan yang digunakan adalah bahan tempatan.

Apabila orang asing melihat mereka tidak mendapat apa-apa peluang daripada pembangunan Putrajaya, mereka benci dan iri hati kepada kita. Dengan itu mereka menuduh yang kita membazirkan duit negara.

Jika pembangunan Putrajaya dikontrakkan kepada mereka apakah mereka akan menolak kontrak besar ini kerana ia adalah satu pembaziran wang negara?

Oleh itu, janganlah rakyat Malaysia mudah terpedaya dengan dakwaan mereka kononnya kita di Malaysia, dan saya terutamanya, sedang membazirkan duit negara dengan projek 'mega'.

Kita tidak sebodoh itu. Jika kita membazir sudah tentu serangan mereka terhadap Ringgit dan pasaran saham Kuala Lumpur akan menjadikan kita miskin dan daif serta terpaksa meminta-minta daripada mereka dan menerima syarat-syarat yang dikenakan.

Tetapi kita bukan sahaja mampu mempertahankan ekonomi kita, bahkan kita dapat memulihkannya dengan lebih cepat daripada negara lain yang diserang bersama.

Yakinlah kepada kebolehan kita dan janganlah kita percaya orang lain saja yang pandai dan berkebolehan. Kita juga berkebolehan. Janganlah kerana kita selalu merasa rendah diri maka kita membenarkan diri kita dihasut sehingga kita menjadi alat untuk memusnahkan diri kita sendiri.

Negara tidak menjadi maju kerana mempunyai kekayaan semula jadi. Negara tidak menjadi maju semata-mata kerana mempunyai kerajaan atau pemerintahan.

Dakwaan kononnya mana-mana kerajaan juga tetap akan memajukan negara adalah hasil pemikiran yang cetek yang didorong oleh angan-angan atau hasrat untuk mendapat sokongan politik bagi sesuatu kumpulan atau individu yang bercita-cita untuk mendapat tempat bagi dirinya.

Jika dengan mempunyai kerajaan semata-mata negara boleh mencapai kemajuan, sudah tentu tidak akan ada negara yang tidak maju. Tetapi kita tahu walaupun semua negara mempunyai kerajaan, tidak semua negara maju, bahkan kebanyakan negara di dunia tidak maju. Negara yang kaya dengan sumber alam juga kerap kali tidak maju.

Maju mundurnya sesebuah negara bergantung kepada dua faktor utama yang mesti berada bersama, iaitu pertamanya rakyat yang rajin dan berdisiplin yang tidak suka kepada huru-hara dan yang keduanya ialah kerajaan atau pemerintahan yang bertanggungjawab, cekap dan memiliki daya pemikiran yang bernas yang sesuai dengan keadaan semasa dan masalah yang ditangani.

Selama 42 tahun Perikatan dan Barisan Nasional memerintah Malaysia, kita telah memperlihatkan sikap bertanggungjawab dan kecekapan serta pemilikan pelbagai idea yang unik dan berkesan.

Bukan saja kita dapat membangunkan negara dengan pesat sehingga dianggap sebagai negara contoh bagi seluruh dunia, tetapi kita dapat menangani dan menangkis pelbagai jenis krisis dan serangan ke atas kita.

Sudah berkali-kali peramal asing meramalkan Malaysia akan gagal dan hancur tetapi kita bukan saja tidak gagal dan tidak hancur, sebaliknya kita berjaya mengatasi masalah dan kita menjadi lebih kukuh dan kuat melalui cara kita tangani masalah.

Demikian juga apabila rusuhan kaum berlaku pada tahun 1969, dalam masa yang singkat kita berjaya mengawal keadaan dan kita bentuk dasar yang berjaya mencegah rusuhan daripada berulang walaupun semasa ekonomi merosot.

Dalam tahun 1985-1986 kita diserang sekali lagi dengan resesi dan kita dapat pulih semula ekonomi dan kemudian mencatat pertumbuhan ekonomi di paras lapan peratus lebih tiap-tiap tahun selama 10 tahun, satu kecapaian yang luar biasa bagi negara membangun ataupun yang maju.

Kemudian kita diserang oleh penyangak mata wang dan pelabur jangka pendek. Kegawatan yang luar biasa mencemaskan kita. Tetapi oleh kerana kita telah urus kewangan kita dengan baik dan ekonomi kita menjadi kukuh kerananya, serangan oleh orang asing ini tidak berjaya memaksa kita tunduk kepada agensi antarabangsa seperti IMF.

Sebaliknya kita cipta sendiri cara-cara mematah serangan kapitalis asing dan memulihkan semula ekonomi kita. Demikianlah kejayaan kita sehingga kuasa besar, agensi antarabangsa dan pakar ekonomi dunia terpaksa akui mereka bersalah dan analisis serta tuduhan kita terhadap dagangan mata wang sebagai punca kegawatan ekonomi memang berasas dan benar.

Sekarang mereka terpaksa buat apa yang telah disarankan oleh kita - iaitu mengawal kegiatan jual-beli mata wang oleh pedagang mata wang dan mengawasi pengaliran modal yang keluar/masuk negara di dunia dengan terlalu bebas.

Tidak banyak dan kadang-kadang tidak ada kerajaan negara lain yang mampu membuat apa yang kita buat atau memikir dan mencipta pendekatan bagi mengatasi masalah dan memajukan negara seperti Kerajaan Barisan Nasional Malaysia.

Bukanlah niat saya untuk mendabik dada dan bermegah-megah. Tetapi ada parti lawan yang suka mendakwa bahawa mana juga kerajaan yang memerintah Malaysia akan buat apa yang Kerajaan Barisan Nasional buat dan akan berjaya seperti Kerajaan Barisan Nasional berjaya.

Allah Maha Besar. Parti lawan seperti Pas dan PBS diberi peluang untuk memerintah di peringkat negeri. Apakah yang berlaku? Semasa PBS memerintah Sabah, lampu jalan yang sedia ada pun tidak bernyala kerana bekalan elektrik tidak cukup dan pengurusan tidak cekap.

Pembangunan semuanya terhenti walaupun balak dikeluarkan dengan begitu banyak yang sepatutnya mendatangkan hasil yang besar bagi kerajaan negeri untuk membiayai pembangunan.

Kerajaan Pas pula tidak pun dapat membekal air bagi rakyat Kelantan. Apabila kita bersetuju untuk menolongnya dengan memberi hutang, Pas mendakwa ini adalah oleh kerana Kerajaan Pusat percaya kepada kebolehan kerajaan Pas. Kita bukan percaya.

Kita kasihan kepada rakyat Kelantan yang tidak bersalah selain daripada mengundi Pas. Pas juga tidak berjaya memajukan agama Islam selain daripada menyingkir imam dan memecah-belah orang Islam demi kepentingan politik partinya.

Kebolehan atau tidak adanya kebolehan kerajaan-kerajaan bukan Barisan Nasional sudah ditunjuk kepada kita. Jangan sesiapa tertipu dengan dakwaan bahawa kerajaan mana pun yang memerintah Malaysia akan berjaya seperti kerajaan Barisan Nasional.

Awas politik benci-membenci

Politik parti lawan adalah politik benci membenci, kata orang putih 'the politics of hate'. Mereka membakar hati dan menimbulkan kebencian kepada Barisan Nasional, kepada UMNO, kepada pemimpin tertentu supaya dengan kerana kebencian ini rakyat tidak lagi dapat menilai sesuatu dengan sewajarnya dan akan beralih dan menyokong mereka dan mengundi mereka semasa pilihan raya.

Bukan kebaikan negara, atau agama atau bangsa atau pengundi yang dijanjikan oleh mereka. Bukan kemampuan mereka yang lebih baik daripada Barisan Nasional yang mereka tonjolkan.

Yang menjadi asas kempen mereka ialah kepercayaan bahawa kebencian manusia dapat mengabui mata dan menimbul kemarahan sehingga tidak lagi dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk dan dengan itu memilih yang buruk.

Jika kerana pemilihan yang salah ini pengundi alami kerugian dan negara hancur sekali pun, ini tidak mengapa bagi parti lawan. Yang utama ialah mereka menang.

UMNO perlu berhati-hati dengan kempen membenci ini. Kita harus tahu menanganinya. Kita harus tentukan kita tidak berjebak dengan campaign of hate dan kelabu mata.

Tanggungjawab UMNO, iaitu tanggungjawab ahli UMNO terhadap bangsa, agama dan negara jauh lebih besar daripada pihak lain. Bukanlah niat kita untuk memperkecilkan peranan rakan kita dalam Barisan Nasional. Tetapi UMNO adalah tunjang, adalah teras bagi Barisan Nasional. Lemah UMNO, lemahlah Barisan Nasional.

Mesyuarat Agung UMNO tahun ini ialah yang terakhir sebelum pilihan raya diadakan. Tiap kali kita hadapi pilihan raya kita hadapi cabaran terhadap kewibawaan kita. Demikian juga kali ini. Ada yang berpendapat cabaran kali ini lebih besar. Ada yang berkata cabaran tahun 1990 lebih besar.

Kita tidak perlu banding antara cabaran ini. Yang penting ialah kita bersedia menghadapi segala kemungkinan. Segala-galanya ditentukan oleh Allah s.w.t. tetapi Allah tidak akan menyelamatkan kita jika kita tidak berusaha menyelamatkan diri kita sendiri.

Janganlah kita sengaja mendedahkan diri kepada bahaya dengan kepercayaan bahawa apa juga yang kita buat, Tuhan akan menyelamatkan kita. Tambatlah unta dan serahlah kepada Allah s.w.t.

                                              

No comments:

biar hati berbicara & menilainya

biar hati berbicara & menilainya