Monday, 17 October 2011

Hukum Hudud Menurut Imam Syafie







HUKUM HUDUD yang kini begitu kecoh dipertikaikan dan menjadi salah satu faktor yang mencetuskan pergolakan dalam arena politik khususnya antara parti PAS dan UMNO-BN telah mencetuskan rasa keperihatinan yang menggunung dalam diri kami. Oleh itu satu inisiatif untuk mendapatkan pendapat kedua tentang isu ini telah dijalankan dengan merujuk kepada alim ulama'di kawasan kami .
Dengan segala patuh dan rasa hormat, kami ingin menyentuh tentang tujuan sebenar Hukum Hudud ini. Sebelum kita mengkritik dan memberi pandangan haruslah kita melapik perdebatan kita dengan ilmu. Kerana kata-kata tanpa ilmu di ibaratkan membelah kayu api di atas kaki sendiri.
Menurut Imam Syafie, setiap pandangan itu mesti berdasarkan atas ilmu pengetahuan kerana ilmu pengetahuan itu datangnya dari Tuhan yang menciptakan. Oleh itu mari kita hayati apakah sebab musabab lahirnya Hukum Hudud ini, bila harus dipraktikkan, untuk siapa, serta apakah platform yang perlu ada sebelum Hukum Hudud dapat di implementasikan. Bukan semua NegaraIslam mampu mengimplementasikan Hukum Hudud ini oleh kerana ditakuti mencetus kontroversi apatah lagi pada rakyat yang bukan Muslim. 
Pada zaman Rasulullah S.A.W. Hukum Hudud dilaksanakan sebagai sebahagian kecil dalam syariah. Kecil di sini bukan dimaksudkan dengan diambil ringan mahupun hanya sebagai alternatif terakhir. Yang ingin disampaikan adalah kecil bermaksud hadirnya hukum itu adalah pada keadaan yang memaksa disebabkan kesalahan di sisi syariat yang jelas telah dilakukan. 
Sebagai contoh, untuk membuktikan mereka yang berzina (fornication) bukanlah suatu yang mudah. Tetapi perbuatan itu nyata perlukan Hukum Hudud jika kita hadirkan 4 orang saksi yang dipercayai untuk membuktikan tuduhan itu, melainkan perbuatan zina itu dilakukan dikhalayak ramai.
Jika kita merujuk pada surah An-Nur 1-19, Allah telah merangka hukum berzina kepada umat Islam dengan terang dan nyata. Disini saya sertakan sedikit dari potongan ayat itu untuk dijadikan rujukan kepada mereka yang bukan Muslim.
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang-orang yang beriman (-percaya dan yakin pada Allah rujuk Rukun Iman dalam Islam)” [An-Nur: 02]
Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik;- kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” [An-Nur: 04 & 05]
“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta” [An-Nur:13]
Sekarang mari kita berpindah pada isi kedua yakni untuk siapakah Hukum Hudud ini patut dilaksanakan. Dalam makluman saya, justifikasi yang ingin dijalankan dengan Hukum Hudud ini bukan untuk semua golongan manusia tetapi hanya terhad pada orang Muslim. 
Walaupun begitu, terdapat juga keadaan yang membolehkan Hukum Hudud ini dijalankan kepada yang bukan Muslim. Merujuk pada sirah Rasulullah S.A.W. terdapat juga golongan bukan Muslim di bawah naungan pemerintahan seorang Amir (ketua kerajaan atau organisasi Islam). 
Walaupun Hukum Hudud ini pastinya untuk umat Islam, bagi mereka yang bukan Islam diberi pilihan samada untuk menjalankan hukuman dengan cara Islam ataupun dengan cara yang disarankan oleh agama mereka sendiri. Dalam ertikata lain, lain agama, lain cara hukuman. Tetapi bagi agama yang tidak mempunyai kitab untuk merujuk rang undang-undang agama mereka, maka amat berpatutanlah jika dihukum dengan perundangan umum (tidak semestinya mesti Hukum Hudud) yang telah dipersetujui dan mencapai kata sepakat. 
Pernah juga terjadi kes dimana orang bukan Islam seperti Kristian dan Yahudi pada zaman kegemilangan Islam memilih Hukum Hudud oleh kerana hukuman yang lebih berat akan dilaksanakan jika menurut pada undang-undang agama mereka sendiri.
Dalam menyeru kepada menegakkan agama di atas keredhaan Allah Taala dengan melaksanakan agama Islam yang syumul (menyeluruh) ini dalam segala perspektif, kita harus berfikir sejenak (lebih lama lebih baik) jika terdapat lubang-lubang kelemahan dalam idea untuk mengaplikasikan Hukum Hudud ini. 
Ini membawa kita pada perbincangan tentang platform yang perlu ada untuk menyeru pada perlaksanaan Hukum Hudud. Untuk melaksanakan Hukum Hudud, pastinya kita perlukan kepada dua perkara; rakyat yang berugama Islam serta pucuk pimpinan dari seorang Muslim yang nyata.
Untuk ini saya akan membentangkan ertikata sebenar rakyat Islam yang dimaksudkan :
Umat Islam di sini harus dilihat dari sudut yang lebih agresif, mengapa? 
Ramai yang mengakui mereka beragama Islam tetapi tidak mendakap perasaan taat setia pada agama (Islam hanya pada nama) na’uzubillah. Oleh itu, adalah penting jika kita memastikan sebelum Hukum Hudud dilaksanakan, kita mengukur sejauh mana Islamiknya umat kita ini. 
Adakah mereka menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim yang utuh dan patuh pada ajaran agama? 
Apakah dari segi akhlak, perlakuan, pemikiran serta pertuturan menunjukkan identiti Islam yang diakui? 
Jika TIDAK jawapannya, kita masih mentah dalam mempraktikkan ad-Deen (cara hidup Islam) tetapi contohnya parti PAS berlagak besar untuk menjalankan hukuman Hudud yang berat dan tidak boleh dipandang enteng ini. Ini dapat dianologikan seperti ingin mengupas buah dengan pisau yang tumpul dan berkarat.
Wahai pemimpin PAS... bagi mendefinisikan pemimpin Muslim yang dinamik ini, kita harus mencontohi corak pemerintahan Rasulullah sebagai pemimpin yang sempurna. Seorang pemimpin (Ameer) itu haruslah terdiri dari mereka yang dalam ilmu agamanya di mana mukanya bersinar cahaya keimanan, tingkah laku nya sejajar dengan kalimah Islamik yang dipertuturkannya dan kecerdasan mindanya membuktikan sifat khalifah yang telah Allah kurniakan padanya. 
Sifat Islamik yang ingin saya tekankan di sini dapat dilihat dengan menghayati ayat ini: “Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara ugama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)” [Asy-Syura:10].
Dalam satu sudut pandangan yang lain pula, kami ingin mengajak para pembaca cuba fikirkan beberapa perkara :
a. Mengapa harus kita takut pada hukuman yang ditetapkan agama jika diri tidak mempunyai hajat atau niat melakukan kesalahan?
b. Mengapa harus kita takut pada hukuman yang dijalankan di dunia? Apakah kepercayaan kita kepada hari akhirat dengan azab yang lebih menyeksakan itu tidak cukup untuk membina landasan taqwa(takut) pada Allah?
c. Daripada menyeru kepada Hukum Hudud, mengapa tidak kita menyeru kepada perlaksanaan cara hidup Islam (Ad-deen) yang lebih utuh dengan harapan kita bukanlah hanya sebuah Negara Islam yang dikenali dari segi material. Agar kita dapat menarik lebih ramai manusia melihat betapa Indah dan syumulnya agama suci Allah ini dimana setiap kalimah Quran membuktikan keesaan (satu dan yang tiada sekutu buatNya) dan kebesaranNya dan bukan menakut-nakutkan mereka dengan keadilan yang disalah interpretasikan.
"Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. 
Dan kalaulah tidak kerana terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga kesuatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu. 
Oleh yang demikian itu, maka serulah (mereka-wahai Muhammad – kepada berugama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: “Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil diantara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami, dan bagi kamu amal kamu. Tidakkah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)” [Asy-Syura:14&15]

1 comment:

  1. WAHAI DARAH SATRIA, MASIHKAH KAU MEMPUNYAI DARAH MELAYU? JIKA YA, MAKA KETAHUI DAN FAHAMILAH PERIBAHASA MELAYU INI "KALAU HENDAK SERIBU DAYA, KALAU TAK HENDAK SERIBU DALIH". KALAU TAK HENDAK LAKSANAKAN HUDUD, MACAM-MACAMLAH ALASAN DIKEMUKAKAN UNTUK MEMBELA DIRI (ILMU KAUNSELING):

    TAK NAK HUDUD:
    1. Malaysia negara pelbagai kaum.
    2. Situasi di Malaysia kini belum mengizikan.
    3. Tenaga / kepakaran belum bersedia / belum cukup.
    4. Imam Al-Syafiee mengatakan begini, begitu.
    5. Alasan-alasan lain.

    ReplyDelete