Lebih baik berusaha menyalakan lilin dari menyumpah kepada kegelapan

Lebih baik berusaha menyalakan lilin dari menyumpah kepada kegelapan
Pepatah pernah berbunyi: Jika hendak merosakkan tanaman "racunlah akarnya. "Jika hendak merosakkan "bangsa", racunilah "Sejarah" mereka... Dalam Musnad Imam al-Rubai’ diriwayatkan hadith berikut; لَعَنَ اللَّهُ الْمُسَلَّطَ عَلَى أُمَّتِي بِالْجَبَرُوتِ، وَالْمُسْتَأْثِرَ بِفَيْئِهَا “Allah melaknat orang yang memerintah umatku dengan zalim dan mengaut harta fai’ nya (harta milik awam) untuk kepentingan dirinya.” Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin pernah memberikan nasihat tentang cara berinteraksi dengan pemimpin yang zalim iaitu (mafhumnya), “Jangan bergaul dengan para pemimpin dan pembesar yang zalim, bahkan jangan menemuinya. Berjumpa dan bergaul dengan mereka hanya membawa petaka. Tetapi sekiranya kamu bertemu dengan mereka, jangan memuji-muji mereka (tetapi nasihatilah kepada kebaikan), kerana Allah sangat murka ketika orang fasik dan zalim dipuji. Dan barangsiapa mendoakan mereka panjang umur, maka sesungguhnya dia suka agar Allah diderhakai di muka bumi.”

Monday 17 October 2011

Hudud Menafi Hak dan Menganiaya Wanita? (Jawapan Terhadap Kekeliruan)


Oleh : Ust. Zaharuddin B. Abd Rahman
Jab. Feqh & Usul Feqh, Jordan
zaharuddin@yahoo.com


Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian ‘alam, selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW, ahli keluarganya, para sahabatnya dan seluruh mukiminin dan mukminat yang menurutinya jejak langkahnya dengan kebenaran.
\
Penulisan ini akan menjawab persoalan berikut:

1. Mengapa persaksian wanita dalam kes zina tidak diterima, adakah hak mereka dinafikan dalam hukuman Islam?

2. Adakah wanita yang mengandung tanpa suami akan dikenakan hukuman hudud walaupun ia dirogol?

3. Apa itu ta’zir? Adakah hukumannya setimpal dengan kesalahan pelakunya?

4. Adakah wanita yang dirogol teraniaya, akibat dikenakan hukuman Qazf apabila ingin menuduh perogolnya?

5. Bagaimana wanita yang dirogol ingin mendakwa tertuduh tanpa dikenakan qazf?

6. Sekiranya kesalahan melibatkan hudud berlaku di asrama jururawat, bilik air wanita dan seumpamanya,
adakah pesalah zina dan lainnya akan terlepas serta tidak dikenakan hudud ke atas pesalah zina kerana semua saksi adalah wanita?

7. Bagaimana jika tiada bukti langsung?

PERSAKSIAN WANITA DALAM KES ZINA DAN HUDUD LAIN SERTA QISAS.

Perlu diketahui bahawa Jenayah zina telah sepakat di kalangan ulama boleh thabit dari dua perkara :

a) Pengakuan daripada penzina  atau Iqrar.
b) Bukti yang jelas  iaitu oleh 4 orang saksi lelaki muslim, baligh, merdeka, punyai pengelihatan, boleh bertutur, tidak ditohmah sebagai pembohong dan adil. (al-Feqh al-Islami wa adillatuhu, 8/6035-6040, cet kedua, Dar al-Fikr)
Bagaimanapun ulama berselisih pendapat dalam persoalan saksi perempuan dalam kes zina ini. Terdapat 2 pendapat dalam hal ini :
a) Jumhur ( Hanafiah, Malikiah, Syafi’iyah, Hanabilah): Tidak harus wanita menjadi saksi dalam hal ini serta tidak diterima penyaksian mereka. (Rujuk Al-Hidayah 3/116, Al-Ikhtiyar 2/140; Tabsirah al-Ahkam Ibn Farhun, 1/264; Bidayah al-Mujtahid, 2/464; Rawdah at-Tolibin 9/29; Mughni al-Muhtaj, 4/441; ashbah wa an-Nazair As-Suyuti, ms 260; Al-Mughni Ibn Qudamah, 12/5; Kassyaf al-Qina’, 6/433; At-Turuq al-Hukmiah Ibn Qayyim, 219)

b) Ato’ Bin Abi Rabah, Hammad Bin Sulaiman (guru Imam Abu Hanifah, w : 120 H) serta mazhab Zohiriyah : Harus wanita menjadi saksi, iaitu seperti 3 lelaki dan 2 wanita , atau 2 lelaki dan 4 wanita, atau seorang lelaki dan 6 wanita. Malah Ato’ Bin Abi Rabah (w: 114 H) mengatakan “sekiranya 8 wanita adil memberikan persaksian terhadap wanita lain dengan zina, nescaya aku akan menjatuhkan hukuman” (Lihat Turuq al-Hukmiyah, Ibn Qayyim, ms 207)
Iaitu dengan kaedah satu lelaki bersamaan 2 wanita, berdasarkan persaksian dalam hukum hakam harta. Bagaimanapun pendapat ini adalah syaz dan lemah. Penulisan ini tidak akan mengemukakan dalil mereka serta jawapan terhadap dalil mereka.

DALIL PARA JUMHUR ULAMA’:

1. Firman Allah:
Mafhum: “Maka mestilah bersaksi ke atasnya ( kes zina) dengan empat saksi daripada kamu” (An-Nisa’: 15)

Wajh ad-Dalalah (pendalilannya): perkataan ‘Minkum’ dalam ayat adalah ditujukan kepada lelaki, tidak termasuk perempuan di dalamnya. (Lihat al-Jami’ li ahkam al-Quran, Imam Qurtubi, 5/83)

2. Firman Allah:
Mafhum: “Bagi mereka yang menuduh wanita-wanita baik (dengan zina) kemudian tidak membawakan empat orang saksi” (An-Nuur 4)
Wajh ad-Dalalah: Menurut kaedah bahasa Arab. Angka 3 sehingga 9 apabila di ‘muannas’kan maka ma’dud (perkataan selepasnya) adalah ‘muzakkar’. Maka Allah menggunakan kalimah ‘arba’ah’ yang bermaksud empat dengan mua’annas lalu semestinya ia ditujukan kepada saksi lelaki.

3. Firman Allah SWT:
Mafhum: Hendaklah kamu bersakasi dengan mereka yang adil daripada kalangan kamu (At-Talaq: 2)
Wajh ad-Dalalah : Sekali lagi perkataan ‘minkum’ ditujukan kepada lelaki dan bukan perempuan. Umum sebutan ini telah diterangkan oleh perbuatan Nabi SAW yang mana Nabi tidak menerima saksi wanita dalam hal Hudud dan Qisas..

Menurut Imam Shihabuddin Az-Zuhri (Ulama’ besar Tabi’ al-Tabi’en wafat thn 124 H): Telah diamalkan oleh Rasulullah SAW, Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab, sesungguhnya mereka tidak menerima penyaksian wanita dalam kes Hudud dan Qisas. (Rujuk Nasb ar-Rayah, Imam Az-Zaila’ie, 4/79; Musannaf Ibn Abi Syaibah 4/128 Kitab an-Nikah )

4. Sabda Nabi SAW:
Mafhum: “Empat saksi lelaki atau hukuman sebat ke atas belakangmu” (Riwayat al-Bukhari dari Ibn Abbas lihat Nasb ar-Rayah 3/306, dan Abu Ya’l al-Mausili daripada anas bin Malik)


MENGAPA PERSAKSIAN WANITA TIDAK DITERIMA?

Berikut adalah fitrah semulajadi yang ada dalam diri wanita (ia juga ada dalam diri lelaki tapi tidak sebanyak wanita) yang menyebabkan persaksian mereka dalam hal Hudud dan Qisas menjadi ragu, lalu tidak diterima: Ringkasnya akibat aqal yang kurang, sifat lalai dan lupa serta tidak mampu menguasai perkara dengan tepat. (Al-Feqh al-Islami, Daripada Wahbah Az-Zuhayli, 8/6044): Dalilnya seperti berikut:
a) Kekurangan aqal wanita ini disebut oleh Allah SWT yang menciptakannya iaitu:
Firman Allah: ()
Mafhum: “Dalam kes hutang… Hendaklah kamu bersaksi dengan seorang saksi atau dua orang saksi lelaki (dalam menulis hutang) maka sekiranya tidak ada dua lelaki, maka cukuplah ada seorang lelaki dan 2 orang perempuan..” (Al-Baqarah: 282)
Ayat ini jelas menunjukkan wanita sememangnya dijadikan kurang aqalnya berbanding lelaki, iaitu diperlukan 2 orang wanita bagi menyamai kemampuan aqal seorang lelaki (Lihat At-Tafsir al-Kabir, Imam Fakhr Addin ar-Razi, 4/16).

Hal ini juga disebutkan oleh Nabi SAW: Mafhumnya: Dari Abdullah Bin ‘Umar ra “….Sesungguhnya kurangnya aqal wanita kerana penyaksiannya 2 orang wanita menyamai seorang lelaki, maka inilah tanda kurang aqalnya, manakala ia duduk tidak solat dan serta tidak berpuasa pada bulan Ramadhan (ketika Haid), maka inilah tanda kurang agamanya. ”(Riwayat Bukhari 2/941, Kitab As-Shahadat no hadith 2515; Muslim 2/58, Kitab Iman; Abu Daud 5/59; Ibn Majah 2/1326; Ahmad 7/186)

b) Sifat lalai serta lupa yang wujud dalam diri wanita ciptaan Allah.
Disebut dalam firmanNya:
Mafhumnya: “…maka apabila seorang daripadanya (saksi wanita) itu lupa maka yang seorang lagi akan mengingatkannya” (Al-Baqarah: 282 )

Selain menyebutkan tentang sifat lupa wanita terutama dalam hal penyaksian, ayat di atas juga memberikan hukum bahawa penyaksian wanita diterima dalam hal kewangan dan harta. Cuma dalam hal Hudud dan Qisas, penyaksian mereka ditolak kerana hal ini memerlukan ketepatan dan mengelakkan campur tangan perasaan wanita yang amat cepat bergolak maka, Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar serta dituruti Jumhur ( Majoriti) ulama’ Islam TIDAK MENERIMA PENYAKSIAN WANITA DALAM KES HUDUD DAN QISAS, TETAPI MENERIMA DALAM KES HARTA, MELIHAT ANAK BULAN, PENYUSUAN DAN BEBERAPA YANG LAIN.

c) Tidak diterima penyaksian wanita dalam kes hudud dan qisash kerana ia melibatkan tubuh, badan, nyawa dan kematian, maka para ulama’ sepakat menyatakan ia tidak sesuai dengan fitrah wanita untuk menelitinya juga tidak sesuai untuk diminta campur tangan dalam perkara sebesar ini. (Lihat al-Ma’unah, Al-Qadhi abd Wahab, 3/1385). Yang mana kesannya amat besar.
Ia adalah seperti hak menjatuhkan talaq yang hanya terletak pada lelaki, menurut aqal yang sohih, sekiranya diletakkan kuasa kepada wanita nescaya akan tersangat mudah wanita menjatuhkan talaq, ini adalah kerana sifat semulajadi ciptaan wanita yang amat cepat sensitif dan terkesan dengan persekitaran. Maka akibat sifat-sifat yang diketahui melalui Nas Al-Quran dan hadith2 Nabi, wanita tidak boleh dijadikan saksi dalam kes berat seperti hudud qisas. Jika melibatkan wanita maka persaksian tersebut menjadi syubhat (ragu) kerana bimbang persaksian dibuat bukan kerana kebenaran tetapi perasaan dan sebagainya. Lalu Hudud tertolak dengan adanya syubhat.

Penyaksian selain hudud diterima kerana hal yang disebutkan di atas masih boleh menerima ‘zann yang kuat’ (sangkaan yang kuat). Penyaksian wanita sememangnya boleh sampai ke tahap itu, tetapi tahap ini dikira ‘syubhat’ dalam hudud dan qisas, dan hudud tertolak dengan adanya ‘syubhat’.



Adakah ini mengenepikan Haq wanita?

Sudah tentu tidak, benar pernyataan “Persaksian bukan hak tetapi tanggungjawab” kerana itulah wajib bagi mereka yang mempunyai bukti untuk ke hadapan hakim menerangkan dalil dan haram hukumnya tidak memperbuat demikian dan haram juga sesiapa yang menghalang saksi daripada memberikan penyaksiannya. Ini disebut dalam Al-Quran Surah at-Talaq ayat 2 dan al-Baqarah ayat 282. serta 283. Justeru ia wajib menurut Syafiyyah, Zohiriyah dan Ibn Farhun Al-Maliki. Manakala Mazhab lain menyatakan Fardhu Kifayah. (Rujuk al-Muhazzab 3/435 ; Fath al-Wahab 2/392; al-Muhalla Ibn Hazm 8/526)
Jelas, ia tidak mengenepikan hak wanita, bahkan ia menjaga hak wanita, iaitu dengan mengtaklifkan wanita hanya yang dengan perkara yang dimampui oleh mereka, bertepatan dengan kelayakan dan kesesuaian fitrah wanita.

Persoalan: Contoh, kalau berlaku di asrama jururawat, adakah pesalah zina akan terlepas serta tidak dikenakan hudud pesalah zina semua saksi adalah wanita?
Sekiranya jenayah bunuh, pukulan hingga cedera (iaitu semua kes yang melibatkan hudud dan qisas) juga zina, berlaku di bilik air wanita atau perkara yang melibatkan urusan dalaman wanita seperti kelahiran, tanda dara, aib pada kemaluan wanita, kecederaan di tempat ‘aurat dan yang seumpama dengannya, yang mana kesemua tempat tersebut tidak mungkin boleh dilihat lelaki atau terdapat lelaki, penyaksian wanita dalam hal ini terdapat perselisihan di kalangan ulama’ :

a) Penyaksian mereka tetap tidak diterima, cukup sekadar ta’zir. Demikian pandangan Ulama Hanafiah. (Al-Mabsut, As-Sarakhasi 16/ 136; Hashiyah Ibn ‘Abidin 8/195)
b) Diterima penyaksian wanita ketika itu akibat dharurat. Iaitu di tempat atau keadaan yang tidak mungkin dilihat atau terdapatnya lelaki. Dan disyaratkan terdapat 4 orang paling kurang sebagai saksinya menurut Mazhab Syafie, seorang menurut mazhab Hanafi, ada juga yang mengatakan 2 orang. Demikianlah pandangan Mazhab Malikiyah, Syafi’yyah dan Hanabilah yang lebih shohih. (Kassyaf al-Qina’, 6/436; Ar-Rawd al-Murabba’ 7/614).

Dalil ulama di peringkat ini adalah daripada Imam Az-Zuhri berkata: "Telah berlalu sunnah bahawa harus penyaksian wanita dalam perkara yang tidak boleh dilihat kecuali oleh wanita, seperti kelahiran dan keaibannya dalam mereka” (Lihat Musannaf Abd Razak, Musannaf Ibn Abi Syaibah, lihat Nasb ar-Rayah 4/80 – di naqal daripadapada Al-Feqh al-Islami wa adilatuhu, 8/6045) Pandangan ini ditarjihkan (dianggap sesuai dan lebih waqi’e) oleh Prof. Fathi Uthman Al-Qafa dari Universiti Al-Azhar.

Bagaimanapun ulama’ tidak pula menyebut persoalan asrama wanita, qias antara menjaga kepentingan wanita di atas mungkin, boleh diguna-pakai dalam hal asrama wanita. Ulama’ sepakat menerima penyaksian wanita dalam kes mengesahkan dara seseorang wanita lain dalam kes zina, rogol. Iaitu kiranya saksi wanita tadi mengatakan, tertuduh masih mempunyai dara, maka jelaslah ia tidak melakukan zina (Rujuk al-Mughni, Ibn Quddamah, bab syubaht fil ishbat). Kerana zina tidak mungkin berlaku dengan mengekalkan dara. Justeru, perlu diingat, ini bermakna penyaksian wanita telah terlibat dalam hal hudud, iaitu dengan pengakuan saksi wanita, had boleh tertolak kerana syubhat atau boleh sabit. Wallahu a’lam. (Lihat al-‘Uqubah, Imam Muhd Abu Zuhrah, hlm 223)

Begitupun, paling kurang, pesalah tidak akan terlepas, hukuman ta’zir akan dilaksanakan kiranya thabit kesalahan melalui perbicaraan dengan bukti-bukti yang dikemukakan, malah hukuman ta’zir boleh mencecah tahap yang lebih berat daripada hudud malah sehingga ke tahap BUNUH, demikian menurut pandangan Mazhab Hanafi iaitu apabila diyakini mafsadah (keburukan) akan merebak sekiranya tidak dilaksanakan hukuman Ta’zir dengan bunuh.

Lalu tidak ada ruang bagi mengatakan wanita diketepikan dalam Islam, bahkan penyaksian beramai-ramai tersebut mesti dihadapkan ke mahkamah, lalu perbicaraan dan bukti-bukti dibawakan. Ianya boleh thabit dan si pesalah dijatuhkan hukuman menurut peruntukan hudud (bagi yang menerima pandangan kumpulan kedua) atau paling kurang melalui peruntukan ta’zir. Bukannya si pesalah akan terlepas begitu sahaja kerana disaksikan oleh wanita.!.


PENJELASAN BERKENAAN HUKUMAN TA’ZIR
Takrif Ta’zir

Menurut Ulama’ Hanafiah: Ta’dib (Hukuman Pengajaran) selain Hudud. (Fath al-Qadir, Ibn Humam 5/112; At-Ta’rifat, Al-Jurjani ms 55, Ad-Durru al-Muhtar, Ibn ‘Abidin 3/117)
Menurut Malikiah: “Hukuman yang tiada had tertentu daripada Allah, ianya dijatuhkan kerana ma’siat yang dibuat kepada Allah ataupun mencabul hak manusia” (Al-Syarh al-Kabir, Ad-Dardir 4/354)
Menurut Syafi’iyyah: Hukuman Pengajaran ke atas dosa seseorang, dan bukan kaffarah (Mughni al-Muhtaj, As-Syarbini, 4/191)

Menurut Hanabilah: Hukuman yang disyariatkan ke atas jenayah yang tiada peruntukan hudud padanya (al-Mughni, Ibn Quddamah, 8/324)
Hukuman ta’zir adalah masyru’ (disyari’atkan) di dalam Islam berdasarkan ayat al-Quran iaiatu (ayat 24 surah An-Nisa’, serta hadtih dari Abu Bardah (riwayat Bukhari dan Muslim), dari Ibn Abbas (riwayat al-Baihaqi dan at-Tirmizi), dari Muadz Bin Jabal (riwayat Ahmad , al-Hakim dan Nuruddin al-Haithami dalam Majma’ az-Zawaid) dan dari Amru Bin Syuaib (riwayat Al-Hakim, Ad Darul Qutni dan As-Sayuti).
Kadar Hukuman Ta’zir

Terdapat 4 jenis hukuman yang utama, bagaimanapun kadarnya diperselisih di kalangan ulama.

1. Sebatan atau pukulan
  Bilangan sebatan diperselisihkan di kalangan ulama’ seperti berikut:
a) Tidak boleh lebih dari 10 pukulan sahaja. Ini adalah pandangan Imam Ishak Rahawaih, Al-Laith bin Sa’ad, sesetengah ulama’ Syafie seperti al-Balqini dan al-Adzra’ie, majoriti ulama’ Hanbali dan Zohiri.
b) Harus lebih daripada 10 sebatan dalam ta’zir, tetapi kurang dari kadar hudud. Demikian pandangan Jumhur Hanafiah, pendapat yang lebih tepat bagi mazhab Syafi’e dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad.

Semua mazhab mempunyai dalil tersendiri yang panjang untuk didedahkan di sini. Pendapat yang ditarjihkan (dianggap terkuat) oleh Tuan Guru kami, Prof. Dr Abd Fatah Idris (Prof. Feqh Perbandingan di Universiti Al-Azhar dan kini di Universiti al-Yarmouk) adalah pandangan mazhab pertama iaitu sebatan tidak melebihi 10 sebatan.
Kekuatan pukulan adalah dengan pukulan yang kuat, demikian menurut mazhab Hanafiah malah lebih kuat daripada pukulan hudud zina. (al-Hidayah wa syuruhiha, 5/117 )

 Manakala pandangan Jumhur dari Mazhab Malikiah, Syafi’iyyah dan Hanabilah menyatakan sebaliknya. (Pukulan yang tidak mencederakan). Bagaimanapun pendapat Hanfiah disokong oleh tindakan oleh Saidina Umar yang memukul dengan kuat semasa menjatuhkan hukuman ta’zir. (al-Hidayah wa syuruhiha, 5/117 Ad-Durr al-Mukhtar 3/178). Justeru, pandangan Hanfaiah lebih tepat sekiranya pukulan biasa tidak mampu memberi pengajaran kepada si penzina dan penjenayah. Kerana matlamat pukulan ini adalah pengajaran.

2. Kurungan atau penjara

Mazhab Jumhur (Hanafiah, Malikiah, Syafi’iyyah dan Hanabilah) menyatakan harus memenjarakan atas nama ta’zir, serta tidak ditetapkan kadar masanya. Ia bergantung kepada tercapainya matlamat pengajaran terhadap si pesalah. (Rujukan yang sama). Hal ini berdalilkan kepada Hadith dari Bahaz bin Hakim (riwayat Al-Hakim, Abu Daud(3/314) , An-Nasaie(2/255), At-Tirmidzi (4/28) ) dan dari Abu Hurairah (riwayat al-Hakim 4/102) dan dari Yahya Bin Said al-Ansari.

3. Rampasan harta

Hal ini juga diperselisihkan di kalangan ulama’. Pandangan yang lebih kuat menurut Prof. Dr Abd Fatah Idris setelah meneliti setiap dalil adalah, harus mengambil harta pesalah atau menghapuskan pemilikan harta pesalah sbagi ta’zir. (Lihat Ahkam at-Ta’zir, hlm 85)

4. Hukuman Bunuh

Mazhab Jumhur (Maliki, Syafi’e dan Hanbali serta Zohiri): TIDAK HARUS menjatuhkan hukuman bunuh ke atas pesalah. Melalui peruntukan hukuman ta’zir.
Mazhab Hanafi: Iaitu hukuman bunuh boleh dijatuhkan bagi kesalahan yang berat seperti Zina berulang-ulang kali, iaitu dijatuhkan secara politik. Atau mencuri berulang-ulang sehingga membawa kemudaratan yang besar. Dan yang seumpama dengannya. (Fath al—Qadir, 5/113; Radd al-Mukhtar 3/180)

Tuan Guru kami, Prof. Dr. Muhammad ‘Uqlah al-Ibrahim (Prof. Feqh Muqaran dari Univ. Jordan dan Univ. al-Yarmouk, lulusan Phd Univ. al-Azhar thn 1978) mentarjihkan pandangan yang mengharuskan ta’zir ke tahap bunuh bila ada maslahat. Hukuman ini sebenarnya biasa menurut perundangan sivil yang ada sekarang ini, seperti menjatuhkan hukuman mati mandatori bagi pengedar dadah, atau pembocor rahsia negara kepada musuh. Tetapi perlu diingat menurut Islam mendedah dan menegur kesalahan pemimpin negara yang dianggap rahsia bukanlah bermaksud membocor rahsia negara!

Berdasarkan hadith Nabi yang membenarkan merebut kuasa (dengan cara mendedah kejahatan pemimpin agar rakyat tidak terpedaya)
Ini berdasarkan Hadith yang soheh diriwayatkan daripada Abi al-Walid dari Ubadah bin Somit r.a. katanya: “Kami telah berbai’ah kepada Rasulullah untuk dengar dan taat dalam keadaan susah ataupun senang, suka ataupun benci dan (dalam keadaan pemimpin) lebih mementingkan dunia melebihi kami.

(Kami juga berbai’ah) untuk tidak merebut kekuasaan dari pemerintah melainkan jika kami melihat ‘Kufr Bawwah’ (kekufuran yang jelas) yang kami mempunyai alasan di sisi Allah (kami juga berbai’ah) untuk menyatakan al-Haq di mana saja kami berada dan kerana Allah kami tidak takut kepada celaan sesiapa yang mencela. (Riwayat al-Bukhori hadith ke-7199, Muslim hadith ke-1836) dalam riwayat Ibn Hibban disebut. Apabila jelas pemimpin mengajak kamu ke arah kemaksiatan. (al-Minhaj syarh Shohih Muslim, Imam An-Nawawi)

Ta’zir2 yang lain seperti berikut :

1. Buang negeri/daerah.
2. Diruntuhkan rumahnya.
3. Dikeluarkan daripada rumahnya.
4. Diiklankan sebagai pelaku maksiat atau jenayah atau saksi palsu kepada umum.
5. Dicat hitam wajahnya atau disapu tepung dan sebagainya.
6. Dicukur rambutnya.
7. Diikat hidup-hidup dengan diberi makan dan minum dan hak untuk solat . Tetapi tidak lebih 3 hari.
8. Dipulaukan.
Demikianlah antara bentuk lain ta’zir yang disebut di dalam kitab feqh bagi keempat2 mazhab. (Rujuk Fath al-Qadir, 5/112; Ad-Durr al-Mukhtar 3/178; As-Syarh al-Kabir Ad-Dusuqi 4/141; Jawahir al-Iklil 2/296; Mawahib al-Jalil 4/381; Rawdah al-Tolibin, 10/174; Muhgni al-Muhtaj 4/192; Al-Mughni Ibn Qudamah 8/236 )


PERSOALAN2 BERKAITAN WANITA TERANIAYA

Berikut ingin diperjelaskan beberapa persoalan yang sering kedengaran di kalangan wanita awam di Malaysia :

Persoalan Pertama

Perempuan yang hamil / lahirkan anak tanpa suami boleh dijadikan qarinah (tanda) perbuatan zina dan boleh didakwa melakukan zina kecuali beliau boleh kemukakan bukti bahawa dia tidak berzina.
Ada yang mengatakan: “Ini jelas menganiayai wanita - sudahlah hamil kena tuduh zina pula dan dikenakan hukuman.”

Penjelasan:

Ini tidak benar, hukuman hudud hanya akan dijalankan sekiranya wanita tersebut mengaku berzina, lalu hukuman thabit dengan iqrar atau pengakuan. Tetapi sekiranya wanita ini menyatakan bahawa ia dirogol (tanpa menuduh sesiapa) atau tidak sedarkan diri semasa berlaku hubungan seks itu akibat termakan ubat tidur berlebihan atau apa jua kenyataan yang menolak bahawa dia berzina.

Maka Hukuman hudud TIDAK BOLEH DIJALANKAN SAMA SEKALI. Walaupun wanita tersebut menipu. Ini adalah kerana berlaku syubhat (ragu) dalam pen’thabit’an jenayah zina nya. Perkara ini telah disahkan oleh As-Syeikh Prof. Dr. Abd Malik As-Sa’di bekas Mufti Iraq kepada penulis, Justeru, perbicaraan akan dilakukan sebagaimana perbicaraan mahkamah syariah. Hukuman akan diputuskan berdasar dalil-dalil dalam perbicaraan. Sabda Nabi SAW:
Mafhum: “Tertolak pelaksanaan Hudud dengan adanya keraguan, cubalah sedayamu untuk tidak menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Muslim” (Ibn ‘Adi dari Ibn Abbas, Musaddid dalam musnadnya mawquf atas Ibn Mas’ud.

 Hadith di dalam bab ini terdapat yang mawquf dan dhoif pada sanadnya, Bagaimanapun menurut Imam As-Syawkani, banyaknya jalan periwayatan hadith yang sama maknanya menyebabkan ia boleh digunapakai sebagai hujjah, juga melihat bahawa ia telah diamalkan oleh Saidina Umar dan Saidina Uthman ra–Nailul Awtar, 7/117, cet Dar al-Khair)
Jelasnya, wanita tidak langsung dianiaya dalam hal ini, tidak pula dengan mudah dilepaskan, kerana telah mempunyai tanda hamil tanpa suami. Maka semestinya telah berlaku hubungan seks di luar nikah. Kalau thabit ia dirogol, maka sudah tentu tidak dijatuhkan hukuman. Tapi kiranya gagal menolak qarinah (bukti) ia berzina (kerana hamil tanpa suami) dengan sebarang dalil yang kuat, barulah ia akan dikenakan hukuman, iaitu dengan ta’zir.

Malah sekiranya thabit dia berzina dengan qarinah dan baiyinah, maka hukuman hanya akan dijatuhkan selepas bersalin. Ini jelas daripada perbuatan Rasullah SAW yang tidak melaksanakan hukuman hudud ke atas wanita yang mengaku berzina dan minta untuk direjam, sehinggalah wanita tersebut selesai melahirkan kandungannya, malah Rasul juga mengambil berat tentang hal penyusuan anak yang dilahirkan itu. Iaitu hanya selepas seorang lelaki bersedia menguruskan hal penyusuan bayi tersebut, barulah Rasulullah melaksanakan hukuman rejam. (Hadith ini daripada Sulaiman Bin Buraidah diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Ad-Dar Qutni. Lihat Nailul Awtar 7/123. Ia merupakan hadith yang shohih. Ia jelas menunjukkan betapa toleransinya Islam.


Persoalan Kedua

Timbul dari Kesalahan qazaf perkara 9 (1). Dalam Sebahagian daripada (Draf) Rang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas)
Mereka mengatakan: Kalau tak ada bukti alangkah teraniaya wanita itu. Iaitu tidak dapat menuduh lelaki yang dikenal-pasti merogolnya. Akibat tidak mempunyai 4 saksi.
Sebagaimana tercatat di dalam Enakmen Hudud yang dibawakan oleh Kerajaan Terengganu iaitu :

BAHAGIAN III
QAZAF


Maksudnya: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq.” (Surah al-Nur, 24 :4)

Qazaf

7. (1) Qazaf ialah membuat tuduhan zina yang tidak dibuktikan oleh empat orang saksi lelaki terhadap seseorang Islam yang mukallaf dan dikenali sebagai seorang yang bersih diri daripada kelakuan zina.

(2) Qazaf juga boleh dilakukan dengan membuat suatu pernyataan dengan cara yang nyata seperti menyatakan bahawa seseorang tertentu telah melakukan zina atau dengan cara tersirat seperti menyatakan bahawa seseorang itu bukannya bapa ataupun bukannya anak kepada seseorang yang tertentu.

(3) Pernyataan di bawah subseksyen (2) adalah dianggapkan sebagai qazaf melainkan ia dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki, dan jika pernyataan itu tidak boleh dibuktikan sedemikian maka orang yang membuat tuduhan itu adalah melakukan kesalahan qazaf; tetapi sekiranya pernyataan itu dibuktikan, maka orang yang terhadapnya kenyataan itu dibuat adalah melakukan kesalahan zina.

(4) Sesuatu pernyataan di bawah subseksyen (2) adalah dianggap tidak terbukti, sekiranya seseorang atau beberapa orang saksi yang berempat yang dipanggil untuk memberi keterangan menyokong pernyataan itu enggan memberi keterangan itu atau jika keterangan itu diberi keterangan itu bercanggah dengan pernyataan itu; dan dalam hal yang seperti itu maka tiap-tiap orang saksi yang memberi keterangan yang menyokong pernyataan itu hendaklah dianggapkan telah melakukan kesalahan qazaf.

Hukuman Qazaf

8. Sesiapa yang melakukan kesalahan qazaf hendaklah dihukum dengan hukuman sebat sebanyak lapan puluh kali sebatan dan keterangannya sebagai saksi tidak boleh diterima lagi sehingga dia bertaubat atas perbuatannya itu.

Kesalahan Yang Dikira Kesalahan Qazaf

9. (1) Seseorang yang mengadu dirinya dirogol oleh orang tertentu dengan tidak mengemukakan bukti (nyata) yang dikehendaki oleh syarak berkait dengannya atau dengan tiada sebarang qarinah bagi menyokong dakwaannya itu telah melakukan kesalahan qazaf.
(2) Aduan oleh seorang perempuan yang dia dirogol oleh orang tertentu tanpa berupaya membawa saksi yang disyaratkan tetapi ada qarinahnya, hendaklah disiasat dan jika syarat-syarat yang dikehendaki syarak tidak dipenuhi untuk menghukum pesalah di bawah hukuman hudud dan sebaliknya ada cukup bukti yang tidak boleh disangkalkan dengan keterangan sama ada secara langsung atau tidak langsung yang menunjukkan pesalah telah melakukan persetubuhan ke atasnya dengan kekerasan dan tanpa kerelaannya maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman takzir dan perempuan itu tidak boleh dikatakan telah melakukan qazaf.

TAMAT PETIKAN ENAKMEN HUDUD T’GANU

Penjelasan Terhadap Persoalan Di atas:
Persoalan menuduh individu tertentu sebagi perogol atau berzina adalah kesalahan yang serius di dalam Islam. Malah Islam meletakan Maruah di dalam salah satu Dhaaruriyat al-Khams (Lima keperluan asasi yang mesti dijaga) di dalam Islam. Manakala menuduh sesorang zina tanpa bukti adalah salah satu daripada tujuh dosa besar: Sebagaimana Sabda Nabi dalam hadith daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim (Rujuk talkhis al-Khabir, Ibn Hajar, Naylul Awtar 7/252).

Justeru, tidak ada sesiapa boleh menuduh zina seseorang yang lain tanpa mengemukakan 4 orang saksi lelaki adil yang melihat dengan jelas kejadian zina atau rogol berlaku, sehingga mereka dapat melihat sebagaimana pen dimasukkan ke dalam tutup pen. Barulah boleh dianggap saksi. Jika sekiranya hanya ‘berbaring di atas’ tanpa dapat melihat yang dinyatakan tadi, maka tidak dianggap saksi.

Perkara ini sememangnya sukar, kerana Hudud tidak boleh dilaksanakan walaupun terdapat hanya 1% keraguan. Tetapi ini tidaklah bermakna si pesalah boleh berseronok tanpa hukuman, kerana, jika jenayahnya ‘thabit’ melalui bukan jalan saksi, ia akan dikenakan ta’zir sebagaimana yang telah diterangkan bentuk-bentuknya tadi. Bukankah ta’zir juga cukup berkesan untuk mengajar dan menghukum si pesalah.
Cuma, wanita tanpa mempunyai saksi, tidak dibolehkan menuduh sesiapa kecuali dengan kaedah membawa bukti-bukti (qarinah-qarinah) terkuat mengikut cara perundangan ke mahkamah atau ke qadhi dan hakim. Ia mesti dilakukan dengan teliti agar tidak sabit hukum qazf ke atasnya.

Antara kaedahnya:-

a) Tanpa melakukan tuduhan rambang, terbuka kepada umum dan sebagainya, kerana ia mungkin tersilap lalu menyebabkan maruah yang dituduh tercalar teruk pada pandangan umum. Jika berlaku demikian, ia pasti dinggap telah melakukan qazf.
b) Dengan membawa bukti-bukti itu ke muka pengadilan, wanita tersebut tidak dikenakan qazf. Ini jelas disebut di dalam enakmen di atas, Perkara 9(2). Iaitu ayatnya “dan perempuan itu tidak boleh dikatakan telah melakukan qazaf.”
c) Wanita tersebut tidak boleh menyatakan dengan yakin nama lelaki terbabit, ia mesti menyebut “berkemungkinan lelaki A telah merogol saya berdasarkan qarinah dan bukti yang saya bawa”. Perkataan ini tidaklah sabit hukum qazf kerana terdapat syubhat pada perkataannya. Iaitu tuduhannya tidak jelas. Lelaki A, juga masih belum sabit merogolnya hinggalah qarinah dikaji, dan sudah tentu qarinah tidak mampu membawa seseorang untuk dihukum dengan peruntukan Hudud. Tapi ia cukup untuk dijatuhkan hukuman ta’zir.
d) Wanita tersebut juga boleh bertaubat kepada Allah dan mesti juga meminta ampun kepada lelaki yang dituduhnya. Kiranya dimaafkan oleh lelaki tadi, maka menurut pandangan yang rajih, terlepas hukuman qazf ke atas wanita itu.

JELASNYA WANITA TIDAK TERANIAYA LANGSUNG.

Bagaimanapun, perlu diingat, berapa ramai pula hari ini, muncul wanita yang berzina dengan teman lelakinya, tetapi akibat ditinggalkan teman lelaki maka mendakwa dirinya dirogol, atau terdapat juga wanita jahat yang diupah dan sebagainya, yang sengaja mahu menjerat individu tertentu maka menuduh dirinya dirogol individu sasarannya, tanpa bukti langsung. Justeru dengan adanya hukuman qazf ini, perkara ini akan terhalang.
Maka, keadilan hukum Islam ini menyelamatkan kedua-dua pihak, sama ada pihak wanita yang dicabuli (dengan hukuman hudud atau ta’zir ke atas lelaki yang mencabulinya) dan pihak lelaki (boleh dithabit hanya dengan 4 saksi atau bukti yang nyata tanpa boleh dituduh sebarangan) Jelas, Islam menjaga kedua-dua belah pihak tanpa sedikitpun menzalimi mereka.

Apa itu Qarinah?

Bukti-bukti ini disebut qarinah di dalam Islam, ia terbahagi dua iaitu qarinah yang kuat (qat’ie) dan yang lemah (zanni). Qarinah yang kuat, cukup untuk mengharuskan hukuman dilaksanakan. (Rujuk Al-Feqh alI-Islami wa adillatuhu, 8/ 6128). Bagaimanapun sekuat mana pun qarinah, ia masih sebenarnya tidak lepas dari syubhat. Contohnya: mengandung tanpa suami, mungkin sahaja dengan memasukkan air mani ke dalam rahimnya dengan alat moden. Justeru, untuk menjatuhkan hukuman hudud ke atas seseorang dengan berpegang kepada qarinah amat amat tipis. Amat sukar untuk menwujudkan qarinah qat’ie.
Di dunia hari ini contoh qarinah seperti kesan air mani, bulu-bulu, darah dan cap jari boleh dianalisa dan dipastikan kepunyaan lelaki atau individu tertentu. Kiranya sabit, ia hanya cukup untuk dilaksanakan ta’zir kerana qarinah ini bersifat Zanni. Bagaimanapun perlulah melalui perbicaraan yang lengkap terperinci. Demikian juga bau arak di mulut bagi menthabitkan hukuman kerana minum arak. Mengandung tanpa suami juga adalah qarinah.

Bagi mereka yang menyatakan: “Bagaimana Jika tiada bukti?”
Maka soalan ini sepatutnya ditujukan juga kepada undang-undang yang ada hari ini, adakah undang-undang yang ada hari ini membenarkan si lelaki dijatuhkan hukuman tanpa bukti? Maka mengapa ingin disalahkan hukuman Islam kerana memerlukan bukti, tanpa dilihat semua undang-undang memerlukan bukti untuk dithabitkan kesalahan. Hanya undang-undang rimba ciptaan manusia tertentu, tidak memerlukan bukti atau cukup dengan saksi pembohong. Telah disebut tadi bahawa qarinah (bukti) boleh didapati dengan mudah bagi mereka yang dirogol seperti air mani, air liur, cap jari dan sebagainya. Adalah sukar untuk tidak meninggalkan tanda secara total.

KESIMPULANNYA:

1. Penyaksian wanita tidak diterima hanya dalam kes hudud dan Qisas atas sebab fitrah semulajadi yang dijadikan Allah SWT. Ia juga diakui oleh Nabi SAW. Ia adalah sebenarnya suatu keadilan iaitu meletakkan wanita hanya di tempat yang mampu baginya. Bagaimanapun, penyaksian wanita diterima dalam perkara harta dan beberapa yang lain.

2. Hudud tidak akan dikenakan ke atas wanita yang mengandung tanpa suami, sekiranya ia menyatakan ia dirogol, kerana syubhat, tetapi hukuman haqiqi di akhirat adalah terlebih amat berat, kiranya ia berbohong.

3. Wanita yang dirogol tidak boleh menuduh sebarang lelaki sebagai perogolnya, kecuali setelah mempunyai

4 saksi lelaki muslim aqil, baligh dan adil. Kiranya tiada, bolehlah wanita membawa bukti-bukti lain yang ada ke muka pengadilan, tanpa membuat tuduhan. Kiranya ia menuduh juga tanpa 4 saksi, ia dihukum qazaf lalu disebat dengan 80 sebatan tanpa cedera.

4. Walaupun si perogol lelaki tidak dikenakan hukuman hudud akibat tidak mempunyai 4 orang saksi, tetapi ia tetap dikenakan hukuman ta’zir menurut kadar keseriusan jenayahnya (kiranya thabit kesalahan melalui perbicaraan dengan bukti-bukti). Hukuman Ta’zir juga cukup berkesan dalam menghukum pesalah.

5. Wanita langsung tidak teraniaya dan dizalimi dalam peruntukan hukuman hudud, demikian juga lelaki yang diberi hak seadilnya.

6. Mereka yang sering memprotes hukuman Islam ini tidak lain hanyalah akibat kurang ilmu dan kefahaman atau kerana benci terhadap Islam atau kurang imannya. Juga akibat sebab-sebab politik sempit perkauman tanpa didasari Islam.

7. Sebenarnya protes terhadap hukuman hudud, (kononnya menganiaya wanita dirogol dan hak wanita) adalah isu lapuk dan tradisi pemimpin kerajaan, ia dibuat akibat benci dan jahil terhadap kandungan Perundangan Islam. Padahal, lebih utama jika mereka selaku pemimpin negara membanteras sebab-sebab berlakunya jenayah rogol dalam masyarakat Malaysia yang semakin menggila kadarnya. Bukankah itu lebih relevan dengan tugas mereka?!

Demikianlah perbincangan serba ringkas tetapi cuba dipadatkan, semoga memberi menfaat untuk semua golongan yang masih merasai rungsing dan tidak yakin dengan hukuman adil ciptaan Allah Rabbul Jalil, ia hanya diolah dalam bentuk perundangan semasa oleh panel khas yang pakar lantikan kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan, terdiri daripadapada kumpulan ulama’ dan cendiakawan bertauliah.
Akhirnya, Islam tidaklah beria-ia menggalakkan umatnya dijatuhi hukuman hudud jika tidak mempunyai kepastian 100%, ini dijelaskan oleh Nabi SAW:



Mafhum: Cubalah sedaya upayamu untuk tidak mengenakan hukuman hudud ke atas Muslimin, sekiranya kamu dapati jalan keluarnya maka lepaskanlah ia, sesungguhnya Imam tersilap dalam menjatuhkan hukuman lepas adalah lebih baik dari tersilap dalam menjatuhkan hukuman denda’ (Riwayat oleh at-Tirmidzi, al-Hakim, Al-Baihaqi dari A’isyah, Ali dan Ibn Mas’ud, terdapat dhoif dalam sanadnya tetapi mempunyai banyak cabang sehingga menguatkannya. Yang tershohih dalam bab ini adalah hadith daripada Sufyan at-Thawry dari Asim bin Abi Wail dari Abdullah Bin Mas’ud. Lihat Nailul Awtar, Imam As-Syawkani, 7/116)


Segala yang baik dan benar hanya daripada Allah SWT, yang silap datangnya daripada kelemahan diri, penulisan ini terbuka untuk menerima komentar kiranya terdapat kesilapan.


Ust. Zaharuddin B. Abd Rahman
Jab. Feqh & Usul Feqh, Jordan

1 comment:

Darah Satria said...

draf hudud yg direka oleh pas..ada banyak kelemahan..kenapa? Semua itu dilakukan dgn niat agar org islam terutamanya org melayu membenci umno..kerana umno lantang menolak draf hudud ciptaan pas..tetapi ramai penyokong pas/pr yg 'buat2 x tahu' pekara ini, sebab minda mereka telah ditanam dgn perasaan utk membenci umno..banyak lagi perbuatan pemimpin2 pas yg bertentangan dgn amalan syariat islam. pas banyak kali mencemarkan kesucian agama islam dlm setiap perbuatan yg bersangkutan dgn hubungan parti mereka dgn parti2 dlm pr. Ahli parti 'bebas' banyak yg menghentam pr/pas kenapa? Sb pr/pas telah jauh lari dari landasan perjuangan 'pembangkang' yg sebenar..oleh kerana org melayu adalah mejoriti bangsa yg besar..maka Dap dan Pkr parti yg ingin melihat kehancuran bangsa melayu, parti2 tersebut akan menjadikan parti pas sebagai landasan utk mencapai impian tersebut..kerana parti pas sebenarnya tidak mempunyi jati diri dlm menentukan arah perjuangan parti mereka..dan parti pas hanya mengunakan agenda agama dlm membantu rakan2 parti dlm pr utk mencapai cita2 mereka...tampa mereka sedar..mereka bukan saja membuka peluang utk parti dlm pr 'membunuh' parti umno, malah bangsa melayu/islam mungkin akan 'terkubur' bersama dgn parti pas itu sendiri..?

biar hati berbicara & menilainya

biar hati berbicara & menilainya